Jumaat, 3 Oktober 2014 | 2:52pm

Piala Malaysia: Debaran suku akhir kembali, malam ini

KUALA LUMPUR: Selepas tepat sebulan berehat, kempen suku akhir Piala Malaysia 2014 kembali menyajikan aksi kepada peminat bola sepak tempatan, hari ini.

Daripada lapan pasukan yang 'turun padang', tiga daripadanya adalah jaguh Pantai Timur termasuk finalis tahun lalu, Kelantan dan Pahang selain Terengganu yang mara selaku naib juara pada aksi peringkat kumpulan.

Menambah tarikan, dua pasukan berstatus kelab, FELDA United dan PDRM tersenarai dengan kehadiran mereka dalam kempen kali ini bukan dianggap remeh, namun dengan status pasukan mampu membuat kejutan.

Dan melengkapkan senarai lapan pasukan ialah juara 32 kali, Selangor, wakil tunggal dari Utara, Kedah dan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dianggap pilihan utama edisi kali ini.

Hadir dengan status gah juara Liga Super dan barisan pemain bintang, JDT membuat kunjungan ke Terengganu yang pastinya mahu memanfaat sepenuhnya aksi di gelanggang sendiri.

Kebimbangan itu harus hadir buat JDT apabila Terengganu menjadi antara penambah statistik empat kekalahan Harimau Selatan dalam kempen Liga Super, musim ini dengan kemenangan 1-0 di Kuala Terengganu, Mac lalu.

Dan beberapa masalah kecederaan dijangka sedikit merencatkan skuad bimbingan Bojan Hodak yang turut mengakui Terengganu pasukan yang kuat dan memiliki beberapa pemain berbahaya terutama di bahagian serangan.

"Saya akui Terengganu pasukan yang kuat dan kita pernah tewas sebelum ini namun itu cerita lama. Saya yakin dengan pemain yang saya miliki kali ini untuk mencatat kemenangan di laman lawan," katanya yang kembali mendapat khidmat kapten kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mahali Jasuli yang sudah pulih daripada kecederaan.

Satu lagi perlawanan menarik pastinya membabitkan juara Liga Perdana, PDRM bertemu penyandang juara, Pahang di Stadium Darul Makmur.

Bersandarkan prestasi semasa PDRM, jelas ranjau yang bakal dihadapi Pahang bukanlah mudah terutama barisan penyerang pelawat yang sudah membuktikan kualitinya terutama awang import, Ashfaq Ali.

Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan juga tidak dapat menurunkan penyerang utamanya, Matias Conti akibat penggantungan dan terpaksa mengharapkan sentuhan Dickson Nwakaeme dan Mohd Fauzi Roslan menjana bahagian depan.

"Saya sedar PDRM bukanlah pasukan yang mudah untuk ditundukkan namun saya fikir pemain saya sudah sedia untuk menanti mereka," kata Zainal.

Bagi Selangor, kempen untuk memburu kejuaraan ke-33 Piala Malaysia diteruskan dengan 'motivasi' baik selepas menjuarai Piala Sultan Selangor, minggu lalu.

Dan lawan yang ditentang, FELDA seharusnya dianggap ancaman yang sebenar dan Selangor tidak boleh mensia-siakan aksi di laman sendiri, Stadium Shah Alam yang menjadi kubu penting mereka musim ini.

Begitupun, kemenangan Piala Sultan Selangor turut apabila penyerang, Paolo Rangel dikatakan berdepan kecederaan kecil dan belum pasti mampu cergas sepenuhnya.

Bagi Kedah, Kelantan yang dianggap pakar dalam aksi piala jelas satu ancaman namun tiada yang mustahil seperti yang mereka tampilkan pada aksi kumpulan, sebelum ini.

Kedah layak selaku naib juara Kumpulan B yang hanya ditentukan pada hari terakhir perlawanan dengan menewaskan Perak yang memiliki kelebihan.

Sedar dengan ancaman Kelantan yang gah di laman sendiri, Kedah dikatakan sudah mempersiapkan diri dari sudut fizikal dan mental selain kesemua pemain utamanya cergas daripada sebarang kecederaan.

Perlawanan suku akhir kedua dijadual berlangsung pada 17 dan 18 Oktober depan.

Jadual suku akhir Piala Malaysia hari ini:

92 dibaca
Berita Harian X