Sabtu, 31 Oktober 2015 | 7:01pm

Imam Muda Asyraf 'diserang' gara-gara BH Plus


ARTIKEL di BH Plus berjudul 'Imam Muda Asyraf teringin berpoligami?

KUALA LUMPUR: Gara-gara artikel BH Plus berjudul 'Imam Muda Asyraf teringin berpoligami?', Asyraf dihujani dengan pelbagai panggilan yang mahu mencari kebenaran di sebalik cerita itu.

Tak kurang juga yang pantas membuat andaian yang dia sudah berpoligami.

Sesuatu yang harus dipuji, lelaki kelahiran Pulau Pinang ini tidak cepat melatah, malah turut berkongsi paparan berita itu sekali gus mempromosikan BH Plus di laman Instagramnya.

Malah, dia turut membalas komen pengikutnya di laman Instagram secara berseloroh memberitahu dia memilih Neelofa sebagai madu isterinya. Komen itu disambut gelak tawa pengikutnya.

"Hari ini memang tak henti henti orang hubungi saya. Siap ada yang bertanya dengan siapa saya kahwin? Tak kasihan isteri ke? Kenapa tak kahwin janda tualah? dan macam-macam lagilah. Itu belum lagi komen mereka di laman Facebook.

"Boleh tahan juga persatuan perempuan apabila bergabung jadi power rangers warna pink," tulisnya di laman Instagram.

Asyraf memberitahu dia sudah membaca artikel penuh di BH Plus itu, segmen berita online berbayar BH dan tiada masalah dengan tajuk artikel berkenaan.

"Saya dan isteri suka artikel berkenaan. Cuma tajuk itu mencetus banyak persoalan. Memang tajuk itu berhantu betul. Kalau orang yang hanya baca tajuk memang bersepailah saya kena hentam.

"Tapi tak apa saya faham. Nak baca artikel itu sepenuhnya kena langgan BH Plus.

"Artike itu hanya meminta pandangan saya mengenai isu poligami. Saya pun tak adalah nak cari publisiti. Ini semua hanya temu bual pandangan isu poligami dari sudut agama. Tak ada istilah Imam Muda nak poligami dengan si polan itu atau ini.

"Tak boleh saya bayang, ini baru tajuk mengenai ingin poligami. Belum lagi saya betul-betul nak poligami. Mesti lagi berkandang saya kena kutuk.

"Isteri saya pun sempat berseloroh dengan berkata, baru abang tahu persatuan kami ini ramai," tulis Asyraf lagi di laman bergambar popular itu.

1878 dibaca
Berita Harian X