Sabtu, 31 Oktober 2015 | 12:06am
ASYRAF dan isteri, Nur Husna Yusuff serta anak tersayang, Aisy.
ASYRAF menggayakan busana di bawah jenamanya sendiri Aisy Asyraf.
ASYRAF menghabiskan masa berkualiti bersama isteri, Nur Husna Yusuff serta anak tersayang, Aisy.

Imam Muda Asyraf teringin berpoligami?


POLIGAMI dalam Islam dibolehkan dan diharuskan. Seorang lelaki dibolehkan beristeri hingga empat dengan syarat dapat berlaku adil terhadap isterinya.

Juara Imam Muda (Astro) musim pertama 2010, Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Rezuan turut tidak terkecuali melihat poligami itu bukan sesuatu isu yang terlalu sensitif untuk dibicarakan secara terbuka.

Bertemunya baru-baru ini, beliau yang turut menceburi bidang perniagaan pakaian lelaki percaya lelaki dilahirkan dengan keinginan untuk hidup berpoligami.

Beliau sendiri percaya kepada konsep poligami sebenar berlandaskan syariat Islam dan bukan hanya menyediakan kemewahan kepada isteri semata-mata.

Suami katanya perlu berlaku adil dalam usaha menggembirakan hati isteri selain memenuhi tuntutan nafkah zahir dan batin yang ditetapkan dalam Islam.

"Saya sendiri teringin berpoligami tetapi tak apalah. Dalam hal ini, kena fikir panjang. Untuk ke arah itu, kena ada satu usaha dan keberanian yang kuat. Poligami itu dibuat jika ada hati dan membuat keputusan untuk berkahwin lain. Jadi secara jelas ia bukan hal main-main. Pada tahap sekarang jika ingin berpoligami, ia bukan setakat nak bercinta seperti zaman muda, tengok wayang dan sebagainya.

"Sebaliknya ia lebih besar daripada itu. Ia mengenai isu atau perihal membina keluarga dan kehidupan baharu. Tanggungjawab juga jadi lebih besar," katanya.


KELUARGA amat penting dalam hidup Asyraf.

Namun, saat ditanya apakah dia sanggup mengamalkan konsep itu pada masa mendatang, jawapan ya atau tidak perlu dipertimbangkan daripada pelbagai sudut.

"Ia terlalu sensitif dan sangat subjektif. Ada yang berpoligami tanpa memikirkan perasaan isteri sedia ada. Kebanyakan poligami yang dilakukan, pasti isteri akan terkilan... terasa hati. Selalu orang cakap, adakah wanita yang sanggup bermadu? Satu persoalan yang sukar dijawab serta merta. Jika saya sendiri yang mahu berpoligami, saya ada cara nak uruskan isteri.

"Saya sendiri akan bertanya dan bawa berbincang dengan isteri. Boleh ke... ok ke... saya nak berpoligami? Jika tak okey atau tidak untuk meneruskan ke arah itu, saya perlu realistik. Kalau nak teruskan pun hak masih ada. Tetapi jika kita sebagai suami ragu atau was-was untuk memberikan keadilan dengan berbahagi kasih sayang kepada wanita lain dan isteri, sebaiknya tak payahlah ke arah itu.

"Jika kita nampak ia akan memberi implikasi besar kepada isteri dan atas dasar menjaga hati, janganlah begitu. Apa-apapun hal berpoligami ini dibuat atas pertimbangan masing-masing," katanya.

Mengalih bicara, sejak menjuarai pertandingan realiti Imam Muda sejak 2010, kini Asyraf meneruskan survivalnya dengan cara tersendiri. Lima tahun menjadi tempoh untuk mematangkan diri. Jelas pertandingan berkenaan mengubah dirinya menjadi lebih peka kepada keadaan semasa dan peredaran masa.


ASYRAF menyifatkan pembabitannya dalam dunia perniagaan sebagai usaha untuk mengubah nasib diri.

"Alhamdulillah lima tahun yang cukup indah dan mengajar saya menjadi lebih dewasa. Sekarang sudah masuk Pencetus Ummah musim ketiga (pertandingan yang diteruskan selepas Imam Muda). Juara dan imam baharu bersilih ganti. Di awalan kerjaya saya, jujur saya melihat ia satu perubahan besar. Sekarang, saya sudah mula membiasakan diri. Saya kian matang.

"Dahulu kekok dengan senario baharu dunia seni. Kita berinteraksi dengan orang industri yang tak pernah terfikir langsung selama ini. Dahulu, peranan iman itu hanya dipandang pada majlis tertentu sahaja. Kini lima tahun berlalu, saya kenal ramai orang termasuk rakan artis. Perbezaan itu sudah tak ketara. Ia sebahagian kehidupan kita bertemu dengan orang baharu setiap masa.

"Masyarakat kita juga mula faham dan menerima bagaimana realiti program mencari imam (Imam Muda) itu menjadi pencetus kepada sesuatu yang baik. Ia tidak dipandang pelik lagi. Pergerakan saya kini juga lebih selesa dan tidak terbatas. Alhamdulillah," katanya.

Meneruskan kelangsungan hingga saat ini, Asyraf juga melakukan banyak anjakan dalam dirinya dan tidak statik dengan satu perkara sahaja. Lelaki kelahiran Pulau Pinang yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Usul & Fiqh, Universiti Malaya ini juga dalam diam melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di universiti yang sama.

Asyraf baharu saja menghadiri konvokesyen bidang itu pada 19 November lalu.


ASYRAF ketika menerima Ijazah Sarjana Muda Usul dan Fiqh Universiti Malaya, baru-baru ini.

"Lima tahun itu juga saya mencuri masa untuk menamatkan pengajian Syariah. Saya bergelut juga memastikan ia berakhir dengan cukup indah. Masa itu cuba dibahagikan sebaik mungkin. Saya apabila diberitahu tamat pengajian itu, umpamanya diri ini rasa lega. Ibaratnya saya sujud terguling-gulinglah kerana akhirnya selesai juga perjuangan itu. Saya bebaslah daripada segala tekanan.

"Kalau mahu diimbas, lima tahun ini penuh warna. Tahun pertama, saya membina kerjaya selepas menjuarai Imam Muda. Saya banyak belajar dan berkongsi ilmu dengan memberi ceramah contohnya. Tahun berikutnya, saya kembangkan dengan banyak melakukan tanggung jawab sosial membantu masyarakat dan tahun berikutnya saya berjinak-jinak pula dalam dunia perniagaan," katanya.

Asyraf turut menceburi bidang perniagaan. Dia membuka butik di Bandar Baru Bangi menjual jubah dan kurta khusus untuk lelaki dengan mengabadikan nama anak (Aisy Asyraf akan masuk usia empat tahun bulan depan).


ASYRAF kini menceburi bidang perniagaan dengan membuka butik jubah dan kurta lelaki.

"Dunia perniagaan ini sebahagian usaha yang saya lakukan untuk mengubah nasib diri dan kehidupan insan seperti saya yang bergelar ustaz atau imam. Saya tak mahu menjadi imam atau ustaz yang tak ada perubahan dan hanya tahu memberi ceramah semata-mata. Alhamdulillah permintaan untuk perniagaan ini sangat baik. Saya meneruskan hal ini sebagai jaminan ketika saya menyambung pengajian di peringkat sarjana.

"Nak sambung belajar dengan selesa itu, memerlukan duit. Saya pun ada tanggung jawab lain kepada isteri, anak, keluarga dan staf. Jadi perniagaan ini menjadi nadi untuk meneruskan kelangsungan serta jaminan selain melakukan kerja harian lain," katanya.

Menurut Asyraf isterinya sedang sarat mengandung anak kedua dan menunggu waktu untuk melahirkannya.

"Jangka lahir anak kedua ini bulan depan. Isteri saya saat ini hanya fokus kepada rutin sebagai ibu, isteri dan dia jugalah yang banyak membantu saya dalam hal perniagaan. Cukup dia sibuk dengan rutin itu. Saya tak mahu dia sibuk hingga anak terabai," katanya yang berkahwin pada 2010.

1013 dibaca
Berita Harian X