Sabtu, 17 Oktober 2015 | 8:35pm

EPL: Liverpool, Tottenham terikat tanpa jaringan berakhir babak pertama


PEMAIN Liverpool, Divock Origi cuba melepasi pertahanan pemain Tottenham Hotspur, Jan Vertonghen pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi. - Foto REUTERS

LONDON: Liverpool yang dikendali pengurus baharu, Jurgen Klopp buat kali pertama dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) lebih banyak bertahan daripada melakukan serangan dengan kedudukan separuh masa pertama bertemu Tottenham Hotspur berakhir tanpa sebarang jaringan, sebentar tadi.

Beraksi di laman lawan, White Hart Lane, tidak banyak perubahan dapat dilakukan Klopp dalam senarai kesebelasan utamanya dan hanya membuat dua pertukaran daripada senarai Brendan Rodgers pada perlawanan sebelum ini.

Di jentera serangan, Klopp memasukkan Divock Origi selain turut menyenaraikan Adam Lallana bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Danny Ings. Ings dan penyerang England, Daniel Sturridge.

Pada minit ke-10 permainan, Liverpool berpeluang menjaringkan gol namun tandukan Origi bermula daripada sepakan suut dinafikan palang gol selain didapati ofsaid.

Tidak banyak gerakan benar-benar berbahaya dilakukan kedua-dua pasukan selepas itu sebelum Spurs mula mengganas dengan melancarkan beberapa serangan termasuk rembatan penyerang gantian Clinton N'Jie di luar kotak penalti ditampan Nathaniel Clyne pada minit ke-27.

Clinton N'Jie sekali lagi memperoleh peluang terbaik namun rembatan kaki kanannya sedikit tersasar di kanan gawang Liverpool.

Selain itu, rembatan pemain Spurs, Christian Eriksen dari kawasan tengah ditampan Martin Skrtel untuk sekadar memberi sepakan sudut ketiga buat tuan rumah ketika permainan memasuki minit ke-33 permainan.

Pada minit ke-36, kapten Liverpool, James Milner memperoleh kad kuning kerana mengasari Danny Rose.

Spurs terus melakukan gerakan berbahaya ke gawang Liverpool namun dua cubaan berturut-turut yang dimulakan daripada rembatan Harry Kane pada minit ke-38 berjaya dihalang penjaga gol The Reds, Simon Mignolet.

Rembatan susulan Dele Alli juga berjaya dihalang pertahanan The Reds.

131 dibaca
Berita Harian X