Isnin, 12 Oktober 2015 | 1:09pm

Tengok skrip dulu untuk berlakon teater Mok Cun


ERMA Fatima (kiri) dan Ogy Ahmad Daud. - Foto Zunnur Al Shafiq/Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Kali terakhir industri hiburan melihat gandingan Erma Fatima dan Ogy Ahmad Daud berlakon ialah menerusi telefilem Pengantin Popular, lebih 20 tahun lalu.

Telefilem itu menarik perhatian ramai malah turut mencipta kontroversi kerana mengungkit perang mulut yang pernah terjadi antara mereka selain memaparkan sisi negatif beberapa watak yang benar-benar wujud.

Drama arahan Rashid Sibir terbitan BNE Production itu bersiaran menerusi slot Cerekarama TV3 sekitar 1994. Ogy membawa watak pelakon senior bernama Gee manakala Erma pula memegang watak Erna digambarkan sebagai pelakon baharu yang mula mendapat perhatian.

Gee dilihat tercabar dengan kehadiran Erna. Malah kalau ada yang ingat menerusi telefilem ini juga terma "over acting" dan "stereotype" turut bermain di minda.

Erna menyifatkan lakonan Gee sangat over acting, manakala Gee pula melihat Erna sangat stereotype dalam lakonannya.

Berita baik, selepas lebih 20 tahun telefilem berkenaan disiarkan dan tiada lagi gandingan Erma dan Ogy selepas itu, kedua-duanya dijangka disatukan semula pada bulan hadapan menerusi teater Mok Cun yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Diajukan persoalan itu, Ogy menerusi WhatsApp memberitahu dia masih mempertimbangkan tawaran Erma itu.

"Saya kena tengok skrip dahulu," katanya ringkas.

Tawaran berkenaan juga jelas menamatkan perang dingin Ogy dan Erma selama ini.

Datin Umie Aida adalah antara individu yang merangka pertemuan kedua-duanya sekitar awal September lalu. Ogy Ahmad Daud yang ditanyakan mengenai perdamaian dengan Erma Fatima, melihatnya sebagai ruang terbaik untuk kembali mengeratkan ukhuwah yang sudah lama terputus.

"Yang lalu itu biarlah berlalu. Kita tak mahu lagi ia terus berpanjangan. Apabila kita mengambil sikap untuk tidak bermusuh dan berbaik semula pastinya kita akan rasa tenang dan baik di dalam diri.

"Islam mengajar kita untuk tidak memutuskan silaturahim. Alhamdulillah. Biasalah masa muda dahulu banyak benda kita buat ikut emosi. Tapi bila berusia kita jadi lebih matang dan kita patut berikan contoh yang baik buat pelapis kita," katanya.

290 dibaca
Berita Harian X