Ahad, 11 Oktober 2015 | 12:34am

Haziq ketagih terjun bangunan


MELEPASKAN tekanan dengan terjun dari menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia boleh dianggap sebagai kerja gila kerana ia mungkin boleh mengundang maut. Tetapi tidak bagi Haziq Azlan, 27, antara peminat fanatik sukan ekstrem, base jump.

Takut atau gerun bukan alasan, apa yang penting kepuasan yang dikecapi setiap kali melakukan terjunan. Itu keutamaannya.

Pemuda berasal dari Cheras, Kuala Lumpur ini mengakui walaupun mengetahui risiko bakal dihadapi setiap kali melakukan terjunan, beliau sukar menolak atau melupakan sukan itu kerana sudah ketagih.

"Ini cara saya hendak lepaskan tekanan... perasaan ketika membuat terjunan sukar untuk diungkapkan terutama melihat pemandangan di bawah.

"Tipulah saya kata tak takut, berada pada ketinggian beribu kaki memang akan rasa kecut perut, tetapi bila sudah minat apa pun kita sanggup buat," katanya ketika ditemui pada kejohanan base jump di Gua Damai, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.


PEMINAT fanatik sukan ekstrem base jump, Haziq Azlan. - Foto NSTP

Haziq mula berjinak dengan bergiat aktif dalam sukan base jump pada usia 21 tahun ketika melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pada tahun sama, anak sulung daripada dua beradik itu melakukan terjunan pertamanya semasa KL Tower International Base Jump 2009 apabila mendapat jemputan daripada penganjur.

"Ketika itu, saya langsung tidak ada peralatan dan terpaksa menggunakan peralatan disediakan penganjur. Saya nekad juga untuk sertai acara itu kerana ia antara acara paling dinantikan peminat base jump seluruh dunia,"

Sejak itu, beliau tidak pernah ketinggalan untuk menyertai acara berprestij itu setiap tahun, malah turut mendapat jemputan daripada beberapa penganjur dari dalam dan luar negara.

Haziq berkata, bukan mudah untuk seseorang itu layak melakukan terjunan base kerana individu terbabit harus mahir dan memiliki lesen sukan payung terjun terlebih dahulu.


HAZIQ membuat terjunan di Menara Kuala Lumpur. - Foto NSTP

"Seorang penerjun harus melakukan sekurang-kurangnya 200 kali terjunan udara sebelum melebarkan pengalaman beraksi dalam acara base jump," katanya yang sudah melakukan 400 terjunan udara ketika kali pertama mendapat jemputan sebagai peserta base jump di Menara Kuala Lumpur.

Beliau yang terlebih dahulu memiliki pengalaman dalam sukan terjun udara mengakui kedua-dua sukan berkenaan jauh berbeza walaupun dalam lapangan yang sama.

"Kalau sky diving, kita tahu ketinggian dan mempunyai payung simpanan...tetapi tidak bagi base jump yang hanya bergantung pada ketepatan, keadaan cuaca serta peralatan untuk melakukan terjunan. Silap sikit sahaja boleh mendatangkan bahaya, termasuk maut," katanya.

Ditanya apakah aspek yang perlu dititikberatkan oleh seseorang penerjun, Haziq berkata setiap penerjun harus mempunyai rasa takut dan disiplin yang tinggi ketika membuat terjunan.

"Setiap penerjun memang kena rasa takut...bila kita rasa takut, kita akan pertimbangkan semua aspek seperti angin, kelengkapan sudah sedia atau belum...dan paling penting, penerjun harus tahu cakap `tidak'.


HAZIQ memeriksa peralatannya sebelum membuat terjunan. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"Kalau rasa tidak selamat, tak payah terjun. Macam keadaan ketika ini yang ramai dengan orang...ada orang 'provoke' suruh buat aksi bahaya, kita tak tahu tetapi saja nak tunjuk skill (kemahiran).

"Kalau rasa tak yakin, baik tak payah buat. Pernah jadi sebelum ini, penerjun mati lepas langgar tembok di sini (Batu Caves) sebab sengaja nak tunjuk aksi bahaya yang dia sendiri tak yakin nak buat," katanya.

Sambil mengakui kecederaan umpama `alah bisa tegal biasa', pengalaman yang ditimba menjadi perisai untuk menghadapi segala kemungkinan dalam sukan itu.

Namun, Haziq berkata, aspek keselamatan menjadi keutamaan bagi semua penerjun base jump dan pada masa yang sama, akur soal takdir juga tidak boleh diketepikan begitu saja.

"Sukan ini tiada perkataan nak cuba...kalau nak buat, kena buat betul-betul, tak boleh patah balik, tak boleh menyesal. Setiap penerjun base jump kena terima risiko sukan ini, sama ada patah riuk, terlentang atau selamat.


HAZIQ Azlan melipat payung terjun selepas melakukan aksi base jump di Gua Damai, Batu Cave. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"Seperti kebanyakan sukan esktrem, risiko kecederaan atau kehilangan nyawa itu pasti ada. Setakat ini, sudah lima orang yang rapat dengan saya meninggal dunia akibat sukan ini.

"Jadi, kita akan lihat setiap tahun pasti ada peserta baharu yang muncul kerana kekosongan itu akan diisi oleh peserta yang mendapat jemputan daripada penganjur," katanya yang pernah bergiat aktif dalam sukan berbasikal lasak.

Haziq berkata, keunikan base jump adalah sukan ini tiada istilah kejohanan atau pertandingan yang melayakkan seseorang itu dilabel sebagai 'otai' atau pemenang.

"Sukan ini tiada istilah pertandingan, sesiapa saja layak untuk sertai asalkan mereka ada pengalaman dalam sky diving.

"Sebab itu, hobi ini memerlukan pengorbanan wang ringgit dan masa kerana sukan ini menggunakan sepenuhnya wang saku kita sendiri," katanya.


HAZIQ ketika melakukan terjunan base jump. - Foto NSTP

Mengakui cinta terhadap sukan ini tidak datang dengan sendiri, Haziq berkata beliau mula meminati sukan base jump selepas melihat aksi ayahnya, Azlan Ismail, 65, iaitu antara individu terawal yang terbabit dalam sukan ekstrem berkenaan pada tahun 1999.

"Saya tidak disuruh sesiapa atau diminta bapa untuk meminati sukan ini, tetapi ia atas inisiatif sendiri untuk jadi pelapis kepada ayah saya. Pada ketika itu, sukan ini agak asing dan ganjil kepada rakyat Malaysia. Namun, sekarang ini, pendedahan mengenai sukan base jump sudah semakin meluas.

"Ditambah pula penganjuran acara terjunan base jump di seluruh negara sejak kebelakangan ini dilihat berjaya melahirkan ramai peminat base jump dari segenap usia," katanya yang pernah bekerja sebagai jurulatih terjun udara di Maldives selama tiga tahun.

Berkongsi mengenai pengalaman pahit yang pernah ditempuhi sepanjang menceburi sukan ini, Haziq berkata beliau pernah terlanggar bangunan ketika melakukan terjunan ketika beraksi di Sibu bulan lalu.

"Ketika itu cuaca sangat baik, semua berjalan dengan lancar. Tiba-tiba bila giliran saya buat terjunan, angin serba tak kena. Payung saya dibawa angin kencang dan terkena bangunan berdekatan kawasan berkenaan.


HAZIQ membuat terjunan dengan memakai 'cast boot'. - Foto NSTP

"Akibatnya, payung saya bocor dan saya terpaksa baiki sendiri untuk terus beraksi," katanya yang pernah mengalami kecederaan parah ketika melakukan aksi terjun udara di Segamat, Johor pada Februari lalu.

Haziq berkata, dalam kejadian itu, tulang kaki kirinya hancur dan terpaksa disimen hampir enam bulan.

Malah, beliau dinasihatkan oleh doktor pakar supaya berehat daripada melakukan sebarang terjunan selama setahun.

"Lepas insiden itu, memang ada niat nak rehat dan bagi kaki sembuh sepenuhnya dulu. Tetapi bila dah ketagih, sakit tu semua hilang. Ditambah pula, banyak acara base jump akan diadakan pada hujung tahun, sakit tu saya letak tepi dahulu," katanya sambil menunjukkan kaki kiri yang belum sembuh sepenuhnya.

Jelas Haziq, setiap individu yang ingin menjadikan sukan base jump sebagai hobi perlu mempunyai kesabaran yang tinggi kerana penjagaan peralatan sukan berkenaan yang agak rumit dan memerlukan ketelitian yang maksimum.


HAZIQ ketika berlegar di udara. - Foto NSTP

"Setiap kali selepas terjun, kami akan mengambil masa hampir sejam untuk lipat dan susun payung seperti dalam keadaan asal.

"Disebabkan payung base jump ini nipis dan tak tahan lasak serta mudah rosak, kita akan lipat sebelum memulakan terjunan lagi," katanya yang menjadi satu-satunya peserta base jump yang pernah melakukan terjunan dengan memakai 'cast boot' iaitu but khas untuk kaki yang disimen.

Haziq berkata, setiap set peralatan base jump berharga antara RM15,000 dan RM30,000 bergantung pada jenama dan ketahanannya.

"Setiap payung ada kitaran hidup. Kebiasaannya, setiap payung mampu bertahan lima tahun hingga 10 tahun bergantung pada cara kita menjaga dan melipatnya," katanya yang membeli set payung terjun terpakai dalam lingkungan harga RM15,000 sebagai koleksi pertama.

449 dibaca
Berita Harian X