Ahad, 4 Oktober 2015 | 5:59pm

KLTIJM 2015 tetap diterus meskipun jerebu teruk


AKSI penerjun pada acara terjunan BASE sempena KLTIJM 2015 di Menara Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Acara terjunan BASE sempena 'Kuala Lumpur Tower International Jump 2015' (KLTIJM 2015) di Menara Kuala Lumpur di sini, tetap diteruskan seperti biasa meskipun jerebu teruk melanda ruang udara negara hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata, pakar penerjunan BASE akan memantau dari segi pergerakan angin dan jarak penglihatan yang sesuai sebelum peserta membuat sebarang terjunan.

"Ia juga terpulang kepada keselesaan peserta sama ada mahu membuat terjunan ataupun tidak," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Meor berkata, setakat ini semua peserta tidak mengalami sebarang masalah kesihatan akibat daripada masalah jerebu.

Seramai 120 penerjun terlatih menyahut cabaran terjun dari kren yang diletakkan di menara itu pada ketinggian 312 meter yang bermula sejak Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

KLTIJM 2015 yang memasuki edisi ke-15, menampilkan aksi hebat penuh debaran daripada pakar penerjunan dari seluruh dunia termasuk Perancis, Denmark, Finland dan Jepun.

Pada ketinggian 421 meter, Menara Kuala Lumpur adalah bangunan telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara.

Acara terjun BASE kali pertama diadakan sempena ulang tahun Menara Kuala Lumpur pada 3 Oktober 1999.

Sejak itu, ia menjadi acara tahunan di menara berkenaan dan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara terjunan BASE pertama di Malaysia.

Dalam pada itu, Meor berkata kehadiran pengunjung yang datang melihat acara ini secara langsung di dek terbuka Menara Kuala Lumpur berkurangan pada tahun ini, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Jumlah pengunjung kali ini tidak mencapai sasaran yang dijangkakan iaitu kurang daripada 300 dalam sehari ekoran cuaca berjerebu," katanya.- BERNAMA

126 dibaca
Berita Harian X