Jumaat, 2 Oktober 2015 | 12:04am
SYAFIQ Yusof (kanan) berbincang bersama rakan kongsi untuk projek filem akan datang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SYAFIQ bersama isteri.

Villa Nabila bakar semangat Syafiq


FILEM cereka seram garapan pengarah muda, Syafiq Yusof, 22, Villa Nabila terpilih menyertai Festival Filem Fantastik Antarabangsa Catalonia (SITGES) 2015 di Barcelona, Sepanyol, mulai 9 Oktober depan.

Villa Nabila menjadi satu-satunya filem dari Asia menyertai SITGES, yang memasuki tahun ke-48 penganjurannya.

Dalam kalangan pemain industri filem, SITGES dianggap festival filem fantasi nombor satu dunia dengan menarik penyertaan pembikin filem dari seluruh dunia, termasuk Hollywood.

Ketika filem yang memaparkan kisah seram di banglo usang, Villa Nabila ditayangkan di seluruh negara pada 15 Januari lalu, Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM) membawa karya arahan anak penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam itu ke festival pasaran filem di Cannes, Perancis.

Sebaik ditayangkan kepada media antarabangsa, reaksi positif mengenai filem Villa Nabila diterima, termasuk ulasan dari majalah perfileman, November terbitan Amerika Syarikat (AS). Majalah itu tertarik dengan kelainan ditonjolkan Syafiq sebagai pengarah muda dalam karyanya itu.

Berkongsi berita gembira itu, Syafiq yang ditemui BH Plus menganggap penyertaan filem Villa Nabila dalam SITGES sebagai suatu kejayaan besar industri perfileman negara.


SYAFIQ Yusof menganggap penyertaan filem Villa Nabila dalam SITGES sebagai suatu kejayaan besar industri perfileman negara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Berita gembira ini tidak pernah saya jangka dalam kerjaya seni saya yang masih terlalu baharu.

"Ketika saya mendapat surat jemputan untuk ke Festival SITGES, saya tidak tahu sejauh mana prestij anugerah ini disebabkan orang lebih ramai bercerita mengenai Festival Filem Cannes.

"Selepas membacanya, baharulah saya tahu ia adalah sebuah festival filem antarabangsa yang berada pada kedudukan kelas pertama hingga menjadi idaman ramai penerbit filem dari seluruh dunia.

"Ini menjadi pembakar semangat untuk saya melangkah lebih jauh ke peringkat antarabangsa dalam bidang pengarahan," katanya yang ditemani isteri, Aisyeah Zainal.

Syafiq yang juga penerima trofi Pengarah Harapan, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 melihat kekuatan filem Villa Nabila atas kreativitinya mencuba sesuatu yang baharu.

"Bagi saya, SITGES mengangkat filem ini kerana pendekatan yang saya gunakan di dalam Villa Nabila sebagai filem seram eksperimental. Ia tidak mempunyai formula. Saya percaya festival filem antarabangsa biasanya mencari sesuatu yang baharu.

"Saya tidak beranggapan filem saya hebat. Ini kerana niat utama ketika menerbitkan filem ini adalah untuk melakukan eksperimen dengan meletakkan penonton dalam mood berteka-teki.


POSTER filem Villa Nabila.

"Ini adalah filem realiti yang menyelitkan elemen dokumentari, fiksyen dan tidak sesekali mendedahkan secara terang kepada penonton situasi bagi setiap babak," katanya sambil menambah filemnya itu akan ditayangkan di SITGES pada 17 Oktober depan.

Syafiq berkata, SITGES mengklasifikasikan Villa Nabila dalam kategori 'Brigadoon' atau pembikin filem baharu yang berkaliber dan perlu ditonjolkan.

Beliau berkata, ketika ditayangkan awal tahun ini, Villa Nabila mendapat sambutan menggalakkan dengan kutipan lebih RM3 juta.

Sehubungan itu, Syafiq mula memasang impian menerbitkan filem baharu bertaraf antarabangsa dengan pelakon kelas A dari Hollywood.

"Saya sudah mula bergerak menghasilkan filem baharu yang lebih besar selepas mengkaji strategi pasaran antarabangsa. Keyakinan itu sebenarnya semakin bertambah selepas mendapat jemputan ke Festival SITGES ini.

"Kali ini, perancangan saya untuk menghasilkan filem mengikut formula Hollywood dengan garapan sendiri. Menariknya, filem yang masih belum mempunyai judul ini meletakkan watak utamanya pelakon dari Hollywood," katanya sambil menambah projek itu akan dikendalikan 100 peratus tenaga kerja tempatan.


SYAFIQ mula memasang impian menerbitkan filem baharu bertaraf antarabangsa dengan pelakon kelas A dari Hollywood.

Syafiq berkata, projek filem Hollywood itu masih dalam peringkat perbincangan, termasuk mengenal pasti pelakon sesuai.

"Filem ini menggunakan 80 peratus bahasa Inggeris dan selebihnya Bahasa Malaysia. Bagaimanapun, sasaran utama saya adalah untuk menjual budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa. Itu nilai utama yang ingin ditonton penonton dari seluruh negara," katanya.

Ditanya mengapa pelakon Hollywood yang dipilih membintangi filem itu, beliau berkata: "Jika dilihat kualiti filem seram dari Hollywood dan negara kita, boleh dikatakan setanding. Cuma bezanya mereka menggunakan bahasa utama yang digunakan orang di seluruh negara iaitu bahasa Inggeris. Inilah kelebihan mereka dapat merentas ke seluruh dunia.

"Perancangan filem ini tidak sama dengan apa yang saya buat untuk filem sebelum ini. Saya memerlukan tempoh yang lama kerana memikirkan banyak aspek sekiranya niat kita untuk bersaingan di gelanggang dunia," katanya yang merancang melakukan penggambaran di New York, tidak lama lagi.


PENGARAH filem, Syafiq Yusof. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

INFO

Syafiq Yusof

  • Penerima trofi Pengarah Termuda pada Malam Penghargaan Malaysia Book of Records pada tahun 2012.

  • Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-26
  • Filem dihasilkan: SAM: Saya Amat Mencintaimu (2012); Abang Long Fadil (2014); Villa Nabila (2015), Desolusi (2016), Lagenda Long

    Piah (2016) dan Mat Motor (2016)

186 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »