Isnin, 21 September 2015 | 8:03pm

Polis Evo pungut RM2.5j empat hari tayangan


PELAKON filem Polis Evo, Shaheizy Sam dan Zizan Razak

KUALA LUMPUR: Filem aksi, Polis Evo, lakonan Shaheizy Sam dan Zizan Razak memungut lebih RM2.5 juta selepas empat hari ditayangkan di 98 buah pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, selaku pengedar kepada judul berkenaan berkata, perkembangan positif itu membuktikan penonton masih meletakkan kepercayaan terhadap filem Melayu, asalkan karya dipersembahkan berkualiti dan memenuhi cita rasa mereka.

"Dalam keadaan industri perfileman tempatan yang tidak menentu ketika ini, ia memberi cabaran kepada pihak penerbit dalam menghasilkan filem yang berkualiti dan memenuhi cita rasa penonton di Malaysia, sekali gus mengembalikan keyakinan mereka terhadap mutu filem tempatan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Mengikut Najwa, sokongan yang diberikan penonton terhadap filem keluaran Tayangan Unggul itu diharap menjadi pendorong kepada perubahan dalam arus perfileman negara bagi memenuhi selera penonton generasi baharu.

"Cerita asal filem ini sebenarnya adalah idea tiga anak muda yang mendapat biasiswa daripada Astro iaitu Joel Soh, Kyle Gounting dan Anwari Ashraf. Pastinya pembabitan anak muda seperti mereka memberikan nafas baharu dan menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk terbabit dalam bidang perfileman," kata Najwa.

Selain Sam dan Zizan, filem arahan Ghaz Abu Bakar ini turut dibintangi oleh Nora Danish, Mimie Ernida, Wan Hanafi Su, Pablo Amirul, Amerul Affendy dan Harun Salim Bachik.

214 dibaca
Berita Harian X