Khamis, 17 September 2015 | 6:28pm

4 pengarah syarikat pengendali latihan dituduh buat tuntutan palsu


EMPAT pengarah syarikat perkhidmatan latihan mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan memberi tuntutan yuran palsu membabitkan jumlah keseluruhan RM144,950 antara 2013 dan 2014 di Mahkamah Jalan Duta hari ini.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Empat pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini terhadap 10 pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan bernilai RM145,000.

Mereka yang dituduh adalah Pengarah SHE Training & Development Centre, Khairil Anuar Samsudin, 47; Pengarah Syarikat Think Beyond Sdn Bhd; Goh Chee Hau, 38; Pengarah Bersama Syarikat Think Beyond Sdn Bhd, Chang Siew Kim, 38; dan Pengarah Academy of Creative Management Sdn Bhd, Tey Jinn Woei, 34.

Mengikut kertas pertuduhan, Khairil Anuar didakwa dengan niat memperdayakan Pembangunan Sumber Manusia Bhd iaitu mengemukakan tuntutan palsu membabitkan yuran berjumlah RM23,400 untuk kursus 'First Responder Life Support Training and Cardi O Pulmonary Resusitation', yang didakwa diadakan di Pulai Desaru Beach Resort, Kota Tinggi, Johor pada 2 dan 3 Mei tahun lalu bagi pekerja syarikat Prelude Printing (M) Sdn. Bhd sedangkan kursus itu tidak dijalankan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataannya hari ini menyebut, kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Bhd, Bukit Damansara di sini pada 15 Mei 2014.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri, Goh dan Chang dikenakan dua pertuduhan.

Goh didakwa memperdayakan Pembangunan Sumber Manusia Bhd dengan mengemukakan yuran membabitkan nilai RM23,400 bagi kursus 'Reaching Out, Inspiring Success', yang didakwa diadakan di Endau Rompin National Park pada 26 dan 27 Mei 2014 bagi pekerja Syarikat Prelude Printing (M) Sdn Bhd. Kursus itu juga tidak diadakan.

Bagi pertuduhan kedua, Goh didakwa memperdayakan Pembangunan Sumber Manusia Bhd dengan mengemukakan tuntutan RM23,400 bagi kursus 'Reaching Out, Inspiring Success' yang didakwa diadakan di Lost World of Tambun, Ipoh pada 17 dan 18 Mei 2014 untuk pekerja Syarikat Synturn (M) Sdn Bhd sedangkan ia tidak dijalankan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Bhd, Bukit Damansara di sini pada 15 dan 22 Mei 2014.

Chang yang dikenakan dua pertuduhan, didakwa bersubahat bersama Goh melakukan kedua-dua kesalahan itu di tempat dan tarikh yang sama.

Sementara itu, Tey yang juga Pengarah Syarikat Academy of Creative Management Sdn Bhd menghadapi lima pertuduhan.

Pertuduhan pertama, memperdayakan Pembangunan Sumber Manusia Berhad dengan butiran palsu berkaitan yuran kursus 'Basic Human Resources (HR) Program', yang didakwa diadakan pada 29 dan 30 November 2014 untuk pekerja Syarikat Straits Perkasa Services Sdn Bhd dengan nilai tuntutan berjumlah RM11,700.

Pertuduhan kedua, memperdayakan Pembangunan Sumber Manusia Berhad dengan butiran palsu berkaitan yuran kursus 'New 7QC Tools For Business Wealth', yang didakwa diadakan pada 3 dan 4 Januari 2014 bagi pekerja Syarikat Straits Perkasa Services Sdn Bhd bernilai RM13,000.

Bagi pertuduhan ketiga, Tey didakwa memperdaya Pembangunan Sumber Manusia Berhad dengan butiran palsu berkaitan yuran kursus 'Basic Occupational First Aid and CPR Training Course' pada 28 Februari dan 1 Mac 2014 bagi pekerja Syarikat Straits Perkasa Services Sdn Bhd dengan nilai tuntutan RM13,000.

Pertuduhan keempat pula, dia didakwa memperdayakan Pembangunan Sumber Manusia Berhad dengan butiran palsu berkaitan yuran kursus 'Supervisory Skills' dari 8 Mac hingga 11 Mac 2014 bagi pekerja Syarikat Far East Packaging (M) Sdn Bhd Nilai tuntutan RM29,250.

Bagi pertuduhan kelima, memperdayakan Pembangunan Sumber Manusia Bhd dengan butiran palsu berkaitan yuran kursus 'Basic Occupational First Aid and CPR Training Course', yang didakwa diadakan pada 15 dan 16 April 2014 bagi pekerja Syarikat Straits Perkasa Services Sdn Bhd bernilai RM7,800.

Tey didakwa melakukan semua lima kesalahan itu di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Bhd, Bukit Damansara di sini antara Disember 2013 hingga April 2014.

Khairul, Goh dan Tey dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Chang didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman yang sama.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Heikal Ismail dan Mohd Asnawi.

Hakim Alaudeen Ismail membenarkan tertuduh Khairil, Goh dan Chang diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan manakala Tey RM13,000 bagi kelima-lima pertuduhan dengan seorang penjamin.

Semua tertuduh diarahkan menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.

Hakim menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan kes bagi Goh dan Chang, dan membenarkan perbicaraan dijalankan serentak manakala untuk Khairil dan Tey, hakim menetapkan sebutan semula kes pada 20 Oktober.

901 dibaca
Berita Harian X