Rabu, 9 September 2015 | 6:00pm

Pelancaran sistem ETC di Lebuhraya KL-Karak lancar


KAKITANGAN Tol Gombak, Nur Izzati Mohammad (kiri) dan Umi Salmah Ramli menjual kad promo Touch'n Go kepada pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berikutan pelaksanaan Sistem Koleksi Tol Elektronik (ETC) pada hari pertama di tol berkenaan hari ini. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Sistem Koleksi Tol Elektronik (ETC) pada hari pertama di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak hari ini berjalan lancar tanpa kesesakan trafik.

Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Dr Azmil Khalid, kejayaan sistem tanpa tunai untuk transaksi tol itu mampu dicapai berdasarkan kerjasama daripada pengguna lebuh raya berkenaan.

"Hari ini kita telah menyaksikan pelaksanaan 100 peratus ETC 'cashless lane' di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Gombak dan juga Bentong mulai jam 12 tengah hari tadi.

"Ia akan menggalakkan laluan yang mudah buat pengguna jalan raya tanpa perlu berhenti dan membuat bayaran secara tunai.

"Tiada gangguan kesesakan pada hari ini, ia terbukti dengan keadaan jalan yang lancar dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pengguna jalan," katanya kepada pemberita selepas acara 'Flag Off ETC Implementation' di sini.

ANIH Berhad adalah pemegang konsesi bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur.

Plaza tol lain yang turut melaksanakan sistem ETC menggunakan kad PLUSMiles, Touch'n Go atau SmartTAG mulai hari ini ialah Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS); Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (PLUS); Plaza Tol Lunas, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE); Plaza Tol Kubang Semang (BKE) dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.

Selain itu, Plaza Tol Datuk Keramat Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE); Plaza Tol Sentul Pasar, DUKE; Plaza Tol Batu, DUKE dan Plaza Tol Lebuhraya SMART.

Azmil menambah pihaknya telah menyediakan 'Portable ETC reader' yang akan digunakan sekiranya berlaku masalah dengan sistem ETC.

Buat masa ini, Lebuhraya KL-Karak dari Gombak ke Bentong mempunyai lebih 100,000 pengguna sehari.

- BERNAMA

74 dibaca
Berita Harian X