Rabu, 2 September 2015 | 11:06pm

FFM 27: Ribbit terbitan Kru dinobat Filem Animasi Cereka Terbaik


FILEM animasi 3D, Ribbit terbitan Kru Studios.

KUALA LUMPUR: Ribbit terbitan Kru Studios mengungguli trofi Filem Animasi Cereka Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) 27, yang bermula hari ini di Symphony Lake Suite, Pusat Konvensen Kuala Lumpur (KLCC).

Filem menggabungkan suara latar pelakon tempatan dan antarabangsa, yang diedarkan di 80 negara itu mengetepikan satu-satunya pencabar dalam kategori sama, SuperSquad daripada NetCarbon Sdn Bhd.

Tahun lalu, tiada filem animasi cereka yang layak diangkat sebagai pemenang.

Trofi disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman.

Sebanyak 10 trofi disampaikan pada malam perasmian FFM 27, di sini, malam tadi. Acara kemuncak dijadualkan berlangsung Sabtu ini, di tempat yang sama, dengan 20 lagi pemenang bakal diumumkan, termasuk filem dan pengarah terbaik.

Sementara itu, Salvaj arahan Cho We Jun memenangi kategori Filem Pendek, manakala Rimba Racer dipilih sebagai penerima anugerah Filem Animasi Bersiri Terbaik.

Hungry Ghost Ritual pula membawa pulang dua trofi iaitu Pereka Kostum/Busana serta Penataan Bunyi Terbaik.

Filem Lelaki Harapan Dunia, yang meraih Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Antarabangsa Fajr ke-33 di Tehran, Iran, diangkat sebagai pemenang Penataan Seni Terbaik.

FFM 27 juga memberi pengiktirafan atas sumbangan Mariam Ibrahim menerusi trofi Penggiat Belakang Tabir.

83 dibaca
Berita Harian X