Khamis, 20 Ogos 2015 | 2:02am
SEBAHAGIAN daripada pencalonan akhir FFM 27. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Trofi emas meriahkan FFM 27


ARTIS yang bakal membuat persembahan pada malam kemuncak FFM 27. Dari kiri: Indah Ruhaila, Amy Search, Najwa Mahiaddin dan Amir Jahari. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Malam Kemuncak Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27), yang akan berlangsung pada September ini menampilkan Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad sebagai pengacara.

Bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), festival itu dimeriahkan dengan barisan artis popular, antaranya Misha Omar, Indah Ruhaila, Hazama, Najwa Mahiaddin, Joe Flizzow, SonaOne, Amy Search dan Amir Jahari.

Antara artis yang akan menyampaikan anugerah pada malam kemuncak itu adalah Christina Suzanne, Izzue Islam, Aziz M Osman, Zizie Ezzette, Syafie Naswip, Scha Alyahya, Syafiq Yusof, Nur Fazura, Datuk Eizlan Yusof, Shaheizy Sam dan Erma Fatima.


NABIL Ahmad (kanan) dan Sherry Al-Hadad sebagai pengacara FFM 27. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM 27 merangkap Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman, berkata sebanyak 140 pencalonan membabitkan 56 filem merangkumi 24 kategori, termasuk kategori Filem Bukan Dalam Bahasa Melayu Terbaik, dipertandingkan pada tahun ini.

Karya yang layak bertanding adalah filem yang ditayangkan sekitar Januari sehingga Disember tahun lalu. FFM 27 memilih tema sehati sejiwa menepati bulan kemerdekaan.

Lebih menarik, pemenang FFM kali ini tidak lagi menerima ganjaran dalam bentuk wang tunai, sebaliknya akan trofi kepingan emas 916.

FFM 27 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD pada jam 9 malam. Acara itu mendapat penajaan, antaranya daripada KLCC, Mesha Sukir, Forty Empire, Prokuya Studios, Ayana By Yana Samsudin, Daily Seni dan Ultra FM selain Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) sebagai rakan promosi.

33 dibaca
Berita Harian X