Isnin, 10 Ogos 2015 | 6:19pm

Atlet Kedah raih pingat Sukan SEA Singapura, terima ganjaran


MUKHRIZ (kanan) menyampaikan replika cek kepada Mohd Fauzi Kaman Shah (tengah) sambil diperhatikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Aminuddin Omar pada Majlis Penyampaian Ganjaran Kepada Atlet-atlet Negeri Kedah yang berjaya di Sukan SEA Singapura dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Sukan Negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah hari ini memberi ganjaran berjumlah RM56,000 kepada 19 atlet negeri atas sumbangan pingat pada temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura, Jun lalu.

Pada temasya sukan dwitahunan itu, atlet Kedah berjaya menyumbang enam pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa dalam 12 jenis sukan.

Jenis sukan tersebut ialah acara perahu layar, badminton, bola jaring, hoki, pencak silat, sepak takraw, boling, memanah, taekwondo, ragbi, menembak dan ping pong.

Pemenang pingat emas menerima insentif sebanyak RM3,000, gangsa (RM2,000) dan RM1,000 untuk pingat gangsa yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada majlis sambutan Aidilfitri Majlis Sukan Negeri Kedah di sini hari ini.

Pelayar muda negara, Mohd Fauzi Kaman Shah menerima insentif sebanyak RM6,000 atas pencapaian dua pingat emas dalam kategori optimis individu dan berpasukan.

"Ini adalah kali kedua saya menyertai Sukan SEA dan tidak menyangka akan mendapat ganjaran atas kejayaan saya. Saya juga gembira kerana sasaran untuk dua pingat emas pada Sukan SEA Singapura tercapai memandangkan saya hanya memperolehi pingat gangsa pada edisi 2013," katanya.

Sementara itu, pemain badminton negara, Chong Wei Feng, yang merangkul emas acara perseorangan lelaki, berkata beliau tidak menjangka akan menerima ganjaran daripada kerajaan negeri.

"Saya gembira dengan penghargaan ini dan akan menjadikan ia sebagai dorongan untuk terus memburu kejayaan," katanya yang bakal menyertai Kejohanan Terbuka Vietnam, bermula 24 Ogos ini.

Menurutnya, beliau akan cuba mengumpul mata pada kejohanan itu untuk layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Pemain berusia 28 tahun dari Sungai Petani itu berkata beliau kini menghuni ranking ke-37 dunia dan perlu memburu tempat dalam kelompok 16 terbaik sekiranya mahu menyertai Sukan Olimpik. - BERNAMA

82 dibaca
Berita Harian X