Isnin, 10 Ogos 2015 | 12:21am

Majalah humor 'bungkus' bukan lawak


GILA-Gila, Geli Hati, Ujang dan Apo? antara bahan bacaan santai pilihan utama masyarakat sejak dekad 1970-an tetapi kini terpaksa menerima hakikat zaman kegemilangan mereka sudah berakhir dengan kebanyakan syarikat penerbitan terpaksa gulung tikar, manakala kartunis pula hilang mata pencarian.

Kesuraman dalam industri penerbitan komik dan majalah humor dilihat berpunca antaranya daripada perkembangan digital dan gaya hidup masyarakat yang terdedah dengan pelbagai teknologi baharu.

Bagaimanapun di sebalik senario yang membelenggu penggiat industri komik, Pengarah Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd, Jaafar Taib optimis masa depan penggiat komik masih cerah walaupun tidak sehebat era 1980 dan 1990-an.

"Jika dulu, Gila-Gila diterbitkan dua keluaran dalam masa sebulan, tetapi sejak empat tahun lalu ia hanya dikeluarkan sebulan sekali dengan keadaan pasaran penjualan penerbitan buku dan majalah yang agak merosot.

"Situasi masa kini memang mengekang kita daripada menjual majalah humor seperti himpitan teknologi dan hiburan lain yang tanpa sempadan, tetapi kami masih boleh menarik nafas lega kerana Gila-Gila ada pengikut tersendiri.


PENGARAH Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd, Jaafar Taib. - Foto NSTP

"Setidak-tidaknya setiap keluaran masih dicetak sehingga 10,000 naskhah dan boleh terjual di pasaran," katanya kepada Sastera BH pada Majlis Pelancaran Penerbitan Edisi Khas Majalah Gila-Gila keluaran 777 di Galeri Petronas, KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengenai penghargaan diberikan Galeri Petronas untuk menerbitkan edisi khas Majalah Gila-Gila Edisi Istimewa 777 bersama syarikatnya, Jaafar mengibaratkan tawaran itu umpama pucuk dicita ulam mendatang kerana jarang majalah humor dan kartunis diberikan perhatian.

"Apabila Galeri Petronas menunjukkan minat tinggi terhadap penerbitan Gila-Gila yang dimulakan dengan Pameran Khas Lagi-Lagi Gila-Gila pada Mei lalu dan disusuli dengan penerbitan naskhah istimewa ini, ia menjadi pengiktirafan yang boleh dibanggakan oleh kartunis tanah air.

"Sebelum ini kerjaya kartunis dipandang sebagai picisan, justeru penghormatan ini diharap membuka mata masyarakat, selain bonus kepada pembaca tegar kami untuk mengembalikan nostalgia membacanya sejak berpuluh tahun lalu," katanya yang juga pelopor majalah humor pertama tanah air, Gila-Gila.

Menurut Jaafar, naskhah yang hanya dijual secara eksklusif di Galeri Petronas itu menghimpunkan rakaman memori era kegemilangan Gila-Gila bermula 1978 hingga 2015 dengan memuatkan siri kartun kegemaran ramai dengan nafas baharu, selain memperkenalkan barisan kartunis dan sejarah di sebalik kewujudannya.


PEMINAT YANG hadir pada majlis pelancaran penerbitan Edisi Khas Majalah Gila-Gila keluaran 777 di Galeri Petronas, KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan

Tambahnya, Gila-Gila yang edisi pertamanya diterbitkan pada 1 April 1978 itu melalui turun naik dalam industri komik tempatan sehingga mampu menjadi jenama majalah humor disegani seperti hari ini.

"Sejarah Gila-Gila dimulakan oleh empat sahabat, iaitu saya, Zainal Buang Hussin, Datuk Azman Yusof dan Shariman Mior Hasan yang mengumpulkan kartunis lain untuk bersama-sama menggerakkannya.

"Ada kalanya kami kering idea sehingga terpaksa berhempas pulas mencari idea baharu dengan kesukaran tentu saja untuk melahirkan isi cerita yang mantap yang bukan saja membuatkan orang pecah perut, bahkan memberi teladan dan pedoman untuk masyarakat.

"Gila-Gila juga majalah humor yang banyak memberi peluang kepada kartunis wanita umpamanya dengan penampilan Sabariah Jais atau Cabai yang popular dengan komik Tiga Dara Pingitan," katanya.

Mengenai masa depan Gila-Gila, Jaafar berkata, pihaknya merancang untuk mengumpulkan majalah itu sejak edisi pertama hingga yang terkini untuk dimuatkan dalam versi dalam talian atau buku elektronik memandangkan pasaran digital semakin mendapat tempat dalam masyarakat.


MISHAR pada majlis pelancaran penerbitan Edisi Khas Majalah Gila-Gila keluaran 777 di Galeri Petronas, KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan

Sementara itu, Shariman atau lebih dikenali sebagai Mishar berkata, ramai yang tidak sedar bahawa sejarah majalah humor terutama Gila-Gila banyak menerima sumbangan idea dan inspirasi penggiat sastera terkemuka negara.

"Sebelum terbabit dengan Gila-Gila, saya pernah bekerja di bahagian Reka Bentuk, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sekali gus memberi peluang untuk saya mengenali dan bersahabat dengan ramai penulis serta sasterawan yang turut membantu dalam penerbitan dan kandungan majalah ini.

"Malah, nama Gila-Gila itu sendiri diperoleh melalui perbincangan dengan Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk Abdullah Hussain yang banyak menyumbang pemikiran untuk meningkatkan kualiti majalah ini.

"Selain itu, ada artikel yang ditulis oleh tokoh seperti Allahyarham Ishak Muhammad atau Pak Sako dan Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail yang menulis isu semasa tetapi masih menyelitkan unsur humor," katanya

Gila-Gila bukan saja dikenali sebagai pelopor majalah humor di Malaysia, bahkan ia umpama membuka jalan kepada kartunis tempatan untuk bergiat secara serius dalam industri komik dan lahirlah pelbagai komik Melayu lain yang tumbuh bagai cendawan.


KARTUNIS majalah Gila-Gila menurunkan tandatangan pada majalah Gila-Gila Edisi yang ke 777 pada majlis pelancaran di Galeri Petronas, KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan

Bertemu barisan kartunis hebat Majalah Gila-Gila pada sesi majlis pelancaran edisi istimewa Gila-Gila yang ke 777 di Galeri Petronas, KLCC, baru-baru ini, jelas dapat dilihat pengikutnya masih ramai, bahkan ada yang sanggup datang daripada pelbagai negeri semata-mata untuk bertemu mata dengan mereka yang terbabit di balik tabir pembikinan majalah berkenaan.

Dalam konteks kartun tanah air, kartunis terkenal, Ibrahim Anon atau lebih dikenali dengan nama Ujang, berkata kemunculan era digital tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman kepada kartunis, sebaliknya menganggapnya sebagai peluang keemasan untuk menerokai media baharu.

"Saya yang melukis mulai tahun 1982, berpengalaman melalui proses peralihan daripada berkarya secara manual dan kemudian menerokai dunia digital dengan penggunaan komputer serta perisian animasi.

"Sebenarnya menggunakan inovasi digital lebih memudahkan kerja berbanding manual, cuma daripada sudut kualiti, tentu saja yang tradisional lebih baik terutama stroke dan nilai sentimentalnya.

"Jika dulu, pendidikan animasi dan komik tidak begitu meluas, tetapi kini banyak institusi yang menawarkan pengajian sedemikian seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Multimedia (MMU).


KARTUNIS terkenal, Ibrahim Anon atau lebih dikenali dengan nama Ujang. - Foto NSTP

"Jadi lebih ramai kartunis akan lahir dan mereka sepatutnya mencuba pelbagai medium baharu untuk mengembangkan bakat dan karier," katanya yang popular dengan Aku Budak Minang, Atuk dan Jibam.

Tambah Ujang, cabaran dihadapi industri penerbitan komik juga disebabkan pengaruh kartun luar negara yang jauh lebih popular dan mudah menembusi pasaran tempatan menerusi konsep kerjasama pertukaran program antara stesen televisyen.

"Keupayaan kartun tempatan agak terhad kerana pasaran dikuasai oleh produk ini yang dapat dihasilkan dengan kos murah disebabkan ia dialih bahasa dan dijual ke banyak negara.

"Berbeza dengan kartun atau komik tempatan, penerbit terpaksa menanggung beban penerbitan yang tinggi untuk mencetak dan membayar kepada ejen serta kartunis sehingga kos terpaksa dinaikkan," katanya.

Justeru, Ujang menggalakkan kartunis terutama penggiat muda mengambil inisiatif sendiri menerbitkan komik secara kecil-kecilan kerana berupaya untuk mengembalikan persaingan sihat dalam industri komik daripada terus tenggelam.


ANTARA koleksi-koleksi terbaik lukisan komik Gila-Gila pada pameran Lagi-Lagi Gila-Gila di Galeri Petronas, KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan

"Digital masih belum berkembang dan difahami oleh masyarakat terutama di luar bandar. Ia sangat bermanfaat cuma masih belum mendapat tempat secara menyeluruh, mungkin lima atau enam tahun lagi ia akan mula digunakan secara efektif.

"Bagaimanapun, saya mencadangkan kartunis terutama pelukis indie buat satu komik, cetak dalam jumlah kecil mungkin maksimum 50 naskhah dan jual sendiri.

"Jika ada 2,000 pelukis yang terbitkan komik sendiri, pembaca sudah ada banyak pilihan, sekali gus dapat memeriahkan industri penerbitan kartun atau komik tempatan kembali," katanya.

Sementara itu, Pengarah Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim, berkata pemilihan Gila-Gila dan kartunisnya adalah usaha yang sejajar dengan komitmen mereka untuk mengangkat bakat seni anak tempatan ke mata dunia.

"Galeri Petronas tidak berorientasikan keuntungan semata-mata, justeru kami mempunyai tanggungjawab sosial untuk menampilkan karya anak seni Malaysia yang bermutu tinggi dan layak untuk diangkat serta dipromosikan bukan saja dalam negara, bahkan pada peringkat antarabangsa.


PENGARAH Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim. - Foto Nik Hariff Hassan

"Kami juga tidak hanya tertumpu kepada karya lukisan konvensional saja untuk dipamerkan, sebaliknya turut memberi peluang kepada kartunis sehingga dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat kelebihan, keunikan dan potensi mereka.

"Bayangkan walaupun majalah ini mula terbit pada akhir dekad 1970-an, edisi awalnya itu masih sesuai dibaca sehingga kini. Ia mengagumkan dan menjadi bukti kartunis berkaliber, mempunyai pemikiran yang tinggi, bijak bermain dengan kreativiti dan berinovasi," katanya.

Rosli menambah, Petronas akan membawa pameran Gila-Gila ke peringkat antarabangsa pada tahun depan dan ia akan menjelajah ke beberapa negara yang menunjukkan minat untuk membawa hasil karya kartunis tempatan kerana kagum dengan hasil seni dan keunikan jalan ceritanya.

"Ramai pengunjung dalam kalangan penggiat industri kartun dan animasi yang hadir ketika pameran Lagi-Lagi Gila-Gila berlangsung di Galeri Petronas dan mereka memberikan reaksi positif, bahkan boleh tertawa walaupun hanya melihat kepada karakter kartun tanpa memahami dialog dalam bahasa Melayu.

"Bagaimanapun, perancangan teliti perlu dilakukan terutama dalam menterjemah dialog komik bagi memudahkan pemahaman masyarakat antarabangsa," katanya.


PEMINAT, Nor Zalila Mohd Nordin. - Foto Nik Hariff Hassan

Bagi peminat Gila-Gila yang mula membaca majalah itu sejak di bangku sekolah, Nor Zalila Mohd Nordin, berkata kisah kemasyarakatan yang diolah dalam bentuk humor adalah faktor utama majalah itu terus dilanggan secara tetap sehingga kini.

"Saya baca Gila-Gila sejak darjah enam, ketika awal era 1990-an, kisah yang dipaparkan yang berbentuk kemasyarakatan begitu dekat di hati.

"Selain itu, saya juga peminat setia semua karakter kartun dihasilkan kartunis Ujang kerana ia bukan saja kelakar, bahkan banyak mesej positif yang tersirat di dalamnya," katanya.

Sementara itu, Hanafi Shafie, 28 yang hanya mula membaca secara tegar sejak tahun 2003 berkata, biarpun mula mengumpul koleksinya agak lewat, tetapi ternyata kandungannya masih menarik dan segar.

"Saya suka Gila-Gila kerana strokenya kerana setiap kartunis menampilkan jalan cerita berbeza dan tersendiri yang sangat kreatif.

"Gila-Gila juga banyak membantu saya untuk memulakan karier sebagai kartunis secara perlahan-lahan dan banyak perkara yang saya pelajari menerusi pembacaan termasuk teknik lukisan pelukis terbabit," katanya.


PEMINAT, Hanafi Shafie. - Foto Nik Hariff Hassan

156 dibaca
Berita Harian X