Isnin, 27 Julai 2015 | 8:00am

Harimau Malaya perlu pemain naturalisasi


JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh. - Foto Osman Adnan

Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh jelas tidak berseorangan, sebaliknya cadangannya mengenai betapa perlunya pemain naturalisasi diambil bagi memperkuatkan skuad kebangsaan mendapat sokongan.

Semalam, dua bekas jurulatih Harimau Malaya - B Sathianathan dan Wan Jamak Wan Hassan - tampil menyokong cadangan Dollah itu dengan berhujah ia diyakini mampu mengembalikan semula kegemilangan dan ranking bola sepak negara yang semakin merudum.

Bagaimanapun, kedua-duanya sependapat perkara utama untuk merealisasikan pengambilan pemain naturalisasi itu adalah dengan menubuhkan satu badan khas untuk memantau dan menilai pemain yang benar-benar layak sebelum diberi 'lesen' menyarung jersi Harimau Malaya.

Sathianathan berkata daripada dulu lagi negara sepatutnya sudah memiliki pemain naturalisasi bagi menampung kelemahan pasukan terutamanya di posisi pertahanan negara.

"Kalau ikutkan kita ada pemain tempatan yang baik ketika usia muda tetapi mereka tidak bantu diri sendiri untuk terus tampil cemerlang.

"Apa yang Dollah katakan ada benarnya. Selagi ia beri manfaat, tidak salah kalau kita tiru apa yang Jepun lakukan sebelum ini, menyenaraikan pemain naturalisasi bagi membantu memperkuatkan skuad kebangsaan mereka.

"Dari dulu lagi perkara ini menjadi keperluan terutamanya di posisi pertahanan. Cuma yang penting kita perlu ada badan khas untuk menilai pemain yang layak," katanya ketika dihubungi semalam. Sukan 42

BH Sukan semalam melaporkan Dollah sekali lagi menyuarakan pandangannya tentang kewajaran pemain import dalam skuad kebangsaan.

Ia terbukti ketika kehadiran lima import dalam skuad Pilihan Malaysia berjaya membantu mereka memberikan tentangan sengit dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur dan Liverpool.

Pada aksi menentang Spurs 27 Mei lalu, Harimau Malaya memberi tentangan sengit sebelum tewas 2-1 dan Jumaat lalu mereka membuatkan skuad kendalian Brendan Rodgers merah padam apabila mengikat gergasi itu 1-1.

Wan Jamak turut bersetuju dengan menegaskan pengambilan pemain naturalisasi mampu memberi manfaat terutama dalam memberi keyakinan tambahan kepada pemain tempatan ketika beraksi seperti yang disaksikan ketika menentang Spurs dan Liverpool.

"Lagipun, banyak negara termasuk pasukan gergasi dunia seperti Sepanyol mengambil pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad kebangsaan masing-masing. Ia bukan perkara baharu.

"Jadi, pandangan Dollah ini bagus untuk baiki prestasi pasukan dan ia sudah membuktikan dalam dua perlawanan menentang Spurs dan Liverpool apabila kehadiran pemain import mampu memperkuatkan pasukan. Kalau cara ini dapat bantu pasukan tampil lebih baik, apa salahnya?," kata Wan Jamak.

96 dibaca
Berita Harian X