Sabtu, 25 Julai 2015 | 12:03am

Gabungan dua ubat dalam satu alat sedut


ALAT Flutiform membantu pesakit mengawal serangan asma untuk jangka waktu yang lama.

JUMLAH penghidap asma di seluruh dunia terus meningkat dengan angka semasa mencecah 235 juta orang. Di negara ini saja, sekitar 3.4 peratus daripada penduduk tempatan menghidap asma.

Peratus peningkatan itu membimbangkan kerana penyakit asma boleh menjejaskan kualiti hidup meningkatkan risiko kematian.

Syarikat farmeseutikal, Mundipharma Malaysia mengambil inisiatif memperkenalkan satu kombinasi baharu bagi penyakit asma menerusi kaedah Flutiform.

Ubat itu menggabungkan fluticasone, ubat sedut kortikosteroid (ICS) dan formoterol. Gabungan ubat itu membolehkan pesakit mengawal serangan asma untuk jangka waktu yang lama.

Buat kali pertama, dua ubat asma yang berkesan ini digabungkan dalam satu alat sedut (inhaler) aerosol inovatif.

Pendekatan terkini

Dalam menguruskan penyakit asma, penyaluran ubat terus ke paru-paru adalah penting. Untuk tujuan itu, Flutiform dicipta untuk menambah baik alat sedut yang selama ini digunakan oleh kebanyakan pesakit.

Alat penghantaran Flutiform mampu menyalurkan pecahan zarah ubat yang sangat halus bagi membolehkan lebih banyak ubat masuk ke dalam paru-paru, termasuk saluran udara kecil.

Alat itu juga menyediakan pembilang dos yang diletakkan menghadap pesakit dengan kod warna untuk mengesan pengambilan ubat.

Flutiform boleh didapati dalam tiga kekuatan dos dan memberi fleksibiliti kepada doktor untuk memilih dan menyesuaikan dos sewajarnya untuk pesakit mereka. Pengambilan bergantung kepada tahap penyakit dan tahap kawalan.

Dos ini sesuai digunakan bagi rawatan asma kepada pesakit yang berusia 12 tahun dan ke atas yang mempunyai simptom yang tidak dikawal sepenuhnya oleh penggunaan ICS.

Flutiform juga menunjukkan profil keselamatan dan toleransi yang baik dalam tempoh percubaan klinikal.

Asma dipandang ringan

Pengarah Institut Perubatan Respiratori Kuala Lumpur (IPRKL), Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, berkata dalam satu kaji selidik Kenali Asma dan Kaitkan kepada Gejala dan Pengalaman (REALISE) yang dijalankan dalam kalangan pesakit Asia, mendapati rakyat negara ini tidak menitikberatkan pengurusan penyakit asma secara sempurna.

Beliau yang juga Perunding Kanan Pakar Perubatan Dada berkata, seramai 41 peratus daripada pesakit tidak menyedari keperluan mengambil ubat secara tetap, lebih-lebih lagi jika mereka tidak mengalami gejala serangan.

"Ramai pesakit tidak sedar kemungkinan mereka mendapat serangan asma boleh dikurangkan hanya dengan menggunakan alat sedut secara tetap.

Cepat dan berkesan

"Pesakit memandang remeh keadaan mereka hingga menyebabkan gejala semakin teruk," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Flutiform di Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus Negara Mundipharma Malaysia, Hans Kim.

Tambahnya lagi, hampir separuh daripada pesakit yang dikaji selidik mendapati penggunaan alat sedut menyusahkan.

"Digabungkan dengan teknik penggunaan yang tidak betul, ini boleh menjejaskan kawalan penyakit.

"Justeru, terdapat keperluan untuk menyediakan ubat yang bukan saja bertindak cepat dan berkesan, tetapi mudah digunakan," katanya.

Tingkat kualiti hidup

Pada majlis sama, Profesor di Pusat Pengajian Perubatan Respiratori Penjagaan Utama, University of Aberdeen, Scotland, Profesor David Price pula menekankan bahawa kombinasi fluticasone dan formoterol dalam ujian fasa tiga Flutiform menunjukkan keputusan memberangsangkan.

"Keputusan dinilai dari segi keberkesanan dan keselamatan berbanding komponen individu secara serentak menerusi dua alat sedut berasingan.

"Saya percaya beban keseluruhan serangan asma dan kualiti hidup pesakit boleh ditambah baik dengan terapi jangka panjang," katanya.

Sementara itu, Hans berkata, Mundipharma sentiasa berusaha untuk membawa ubat baharu kepada pesakit menerusi inovasi berterusan.

"Flutiform dicipta untuk membekalkan kombinasi ubat yang berkesan dalam alat sedut yang senang digunakan. Kami percaya Flutiform memberi manfaat klinikal bagi membantu pesakit mengecap nikmat hidup sepenuhnya dan memuaskan menerusi kawalan optimum keadaan mereka," katanya.

47 dibaca
Berita Harian X