Jumaat, 24 Julai 2015 | 12:07am

Zain Saidin pujuk Che Ta hamil lagi


ZAIN Saidin mengakui tidak berupaya menyembunyikan keinginan untuk menambah cahaya mata selepas dikurniakan anak perempuan hasil perkongsian hidup dengan Rozita Che Wan (Che Ta).

Bagi Zain, seandainya ada rezeki pemberian Ilahi, hasrat untuk menimang seorang lagi anak memang dihajati.

Biarpun isteri tersayang pernah menyuarakan permintaan tidak mahu mengandung lagi, Zain tetap bersemangat dan menyatakan dirinya sanggup memujuk Che Ta untuk berbuat demikian.

"Kalau boleh memang saya nak tambah lagi anak. Insya-Allah kalau ada rezeki. Memang Che Ta kata sebelum ini tak mahu mengandung lagi. Tapi saya boleh pujuk Che Ta.

"Ini soal rezeki dan anugerah Tuhan. Takkan nak tolak tuah dan rezeki kalau boleh lahirkan anak yang cantik. Insya-Allah.

"Selepas ini, saya tak kisah pun dapat anak lelaki atau perempuan. Saya sendiri sudah ada dua anak lelaki (anak Che Ta menerusi perkahwinan terdahulu)," katanya.

Pasangan pelakon bahagia itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana selepas beberapa tahun menunggu detik kehadiran si comel kesayangan mereka.

Sementara itu, anak sulung hasil perkongsian hidup Che Ta dengan Zain, yang dilahirkan 1 November tahun lalu dan pastinya, si comel itu menjadi perhatian pada perayaan Aidilfitri, kali ini.

Semestinya berbeza daripada tahun sebelumnya, akui Che Ta. Kali pertama beraya dengan anak perempuan, Che Ta sanggup berhabis supaya 'anak dara' bergaya sepanjang musim perayaan.


ROZITA Che Wan bersama Zain Saidin serta anak mereka, Aaisyah Dhia pada majlis The Royale Chulan Damasara bagi meraikan anak yatim sempena Ramadan. - Foto Rohanis Shukri.

Lebih 20 pasang baju raya disediakan Che Ta buat Aaisyah dan pastinya ibu serta bapa juga tampil sedondon.

Aaisyah kini memang antara anak selebriti popular yang digilai ramai. Muat naik sahaja gambarnya di Instagram sebagai contoh, pasti banyak jumlah 'likes' yang diterima.

Namun, populariti yang dikecapinya hingga menjadi artis naungan paling muda di syarikat pengurusan Laugh Out Loud Entertainment, menerbitkan kebimbangan pada sesetengah pihak mengenai keselamatan si kecil.

"Saya tak fikir sampai ke tahap ia akan menjadi ancaman atau terancam oleh mana-mana pihak yang berniat jahat. Insya-Allah, minta simpanglah. Saya pun bukan selalu bawa dia ke acara hiburan. Begitu juga memakaikan dia dengan gelang emas. Saya utamakan keselamatan dan tidak mahu bertindak bodoh dengan melakukan perkara yang boleh mengundang bahaya.

"Selalunya dia tinggal di rumah. Saya juga ada belikan insuran untuk dirinya selain menabung untuk masa hadapannya," kata Che Ta.


ROZITA Che Wan bersama Zain Saidin begitu menyayangi Aaisyah Dhia. - Foto Rohanis Shukri.

Seperti budak kecil lain yang kebiasaannya membesar 'bagai johan', Aaisyah juga dilihat semakin comel dan berisi.

"Biasalah budak kecil sebelum dia aktif dan membesar, memang semangat badannya. Saya hanya berikan dia makan bijirin tiga kali sehari dan minum susu. Kadang-kadang, apa yang saya makan, dia pun nak," katanya.

Pasangan itu beraya di rumah keluarga Zain di Bukit Antarabangsa pada raya pertama dan pulang ke Kedah, keesokannya.

Bapa si comel, Zain Saidin, juga mengakui hari lebaran tahun ini berbeza dengan kehadiran Aaisyah. Malah, secara berseloroh, Zain berkata, `anak gadisnya' itu menjadi perhatian adik-beradik dan saudara-mara sehinggakan beliau dan isterinya, `tidak dipedulikan'.


ROZITA Che Wan dan Zain Saidin kali pertama berhari raya dengan Aaisyah Dhia pada Aidilfitri. - Foto Rohanis Shukri.

Tambah Zain, persiapan raya diserahkan sepenuhnya kepada isteri tercinta.

"Memang sudah lama Che Ta nak anak perempuan. Jadi biarlah Che Ta nak bersakan raya dengan anaknya itu. Saya memang serahkan bulat-bulat persiapan raya kepada Che Ta. Saya hanya keluarkan belanja apa yang patut. Bab menggayakan Aaisyah memang Che Ta yang teruja lebih nak buat...pakai gaun itu dan ini," katanya.

Sebagai bapa, Zain pastinya mengharapkan yang terbaik untuk anak sulungnya itu.

"Saya akan sokong apa yang Aaisyah akan buat. Karakter Aaisyah sebenarnya lebih mirip kepada Che Ta. Orang kata mata Aaisyah macam mata saya. Mungkin juga. Tapi kebanyakannya lebih dekat kepada Che Ta. Aaisyah sangat ceria, happy go lucky, happening, tak banyak kerenah dan senang didekati. Memang macam Che Ta.


ZAIN Saidi pada majlis berbuka puasa Laugh Out Loud di Sunway Putra Hotel.- Foto Maya Sarina Mahat

Aaisyah lebih rapat dengan Che Ta atau Zain? Kata Zain, sama saja, baik dia atau Che Ta, Aaisyah rapat dan selesa dengan kedua-duanya.

"Cuma kalau waktu tidur, saya selalu biarkan dia bersama Che Ta. Sentuhan Che Ta penuh kelembutan dan keibuan. Aaisyah pun tidur sekali dengan kami. Kami tak ajar dia tidur berasingan lagi. Kalau tidur berasingan memang tidurnya tak nyenyak. Kalau tidur dengan kami, memang sekejap sahaja mata dia layu dan terus tidur.

"Saya ini kalau ada masa berdua dengannya memang suka kacau dan buat dia geram. Saya akan peluk dia sampai dia rimas dan tak boleh bergerak. Saya suka usik dia sampai menangis," katanya yang menjalani pembedahan lutut akibat cedera selepas bermain futsal, baru-baru ini.

Info

* Aaisyah Dhia Rana dilahirkan 1 November lalu jam 2.18 petang di Hospital Pakar Ampang Puteri.

* Zain dan Rozita dikatakan mula akrab selepas sama-sama membintangi drama Kiah Pekasam di Astro terbitan Zeel Production

* Zain cukup terkenal dalam drama bersiri Oh My English di Astro.

* Rozita Che Wan kini juga terkenal sebagai ahli perniagaan dengan berniaga tudung, jubah, minyak wangi selain turut mengacarakan program Primadona.

1331 dibaca
Berita Harian X