;
Isnin, 13 Julai 2015 | 8:46am

Pulang beraya tidak seriang dahulu

Empat hari lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri dan mulai kelmarin, sudah ada warga kota yang mula pulang untuk beraya di kampung halaman. Menjelang dua hari sebelum raya nanti, lebuh raya dan jalan utama dari ibu kota ke seluruh pelosok tanah air sekali lagi menghadapi kesesakan teruk.

Walaupun jalan semakin besar dan lebuh raya semakin lebar, tahap kesesakan dan tempoh perjalanan juga semakin teruk saban tahun. Daripada hanya beberapa jam untuk tiba ke destinasi, waktu perjalanan meningkat sehingga ada yang lebih sehari.

Tahun lalu misalnya, ramai yang berada di dalam kenderaan sehingga 17 jam untuk perjalanan biasa enam jam dari ibu kota ke Kuala Terengganu. Dari Shah Alam untuk melepasi Plaza Tol Gombak sahaja, ada yang mengambil masa empat jam. Tempoh perjalanan hampir sama juga dialami oleh mereka yang pulang ke utara dan selatan tanah air, bergantung kepada nasib dan waktu bertolak.

Jika tidak merangkak di lebuh raya, kebanyakan pengguna pasti menunggu berjam-jam untuk melepasi plaza tol. Mengingatkan pengalaman berbelas jam terperangkap dalam kesesakan itu, memandu pulang untuk beraya di kampung tidak lagi seriang dan seindah dulu. Tetapi apakan daya, bagi kebanyakan warga kota yang

kewangan dan cuti terhad, pulang pada Aidilfitri bukan sekadar beraya tetapi lebih untuk bersama ibu bapa setahun sekali, ketika mereka masih hidup. Bayangkan 'penderitaan' mereka yang mahu menggunakan tandas, anak kecil kelaparan atau pengguna yang diserang sakit di tengah-tengah kesesakan berbelas jam itu. Ini belum mengambil kira kereta lama yang kepanasan enjin, malah ada yang kehabisan minyak.

Tiada tindakan berkesan

Anehnya, saban tahun juga, pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya dilihat belum mempunyai tindakan yang benar-benar berkesan untuk mengurangkan masalah itu selain melakukan pemantauan dan menghebahkannya melalui radio dan media sosial. Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu untuk mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di sepanjang lebuh raya kendaliannya ternyata tidak mencukupi.

Apa yang berlaku, selain menuju plaza tol, kesesakan berkilometer sebelum hentian rehat sehingga menyekat laluan dan kelancaran kenderaan lain yang tidak memasuki kawasan itu. Masalah itu mungkin boleh dikurangkan jika pihak berkuasa atau pengendali lebuh raya meletakkan kakitangan mencukupi untuk mengawal lalu lintas. Pengalaman pengguna Lebuhraya Pantai Timur tahun lalu lebih menyakitkan hati. Berbeza dengan Lebuhraya Utara-Selatan yang menampung jumlah kenderaan jauh lebih banyak, kesesakan dialami pengguna Pantai Timur kerana pengguna LPT1 yang ingin meneruskan perjalanan ke LPT2 terpaksa membuat bayaran tol di Plaza Tol Jabor dan membuat pusingan U untuk ke LPT2. Kesannya, pengguna terpaksa menunggu sehingga berjam-jam untuk membayar tol di plaza yang menyediakan hanya tiga lorong itu.

Belajar daripada pengalaman tahun lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memulakan operasi 10 plaza tol di sepanjang jajaran LPT2 sejak Selasa lalu. Bagaimanapun, penggunaan tol di LPT2 masih percuma sehingga satu tarikh diumumkan nanti. Menurut LLM, pengguna boleh menikmati perjalanan tanpa henti dari LPT1 ke LPT2 dan hanya perlu membuat bayaran tol untuk keluar di mana-mana plaza tol LPT2 dengan kadar bayaran dikenakan mengikut jarak perjalanan yang dilakukan di LPT1 sahaja.Sementara kita memuji langkah LLM dan berharap ia mengatasi kesesakan di Jabor sebelum ini, kita juga berharap sistem laluan dan penyuraian trafik lebih berkesan dilakukan di plaza tol terutama di pintu keluar ibu kota seperti Gombak, Sungai Besi dan Jalan Duta.

Kelemahan ketara yang menyebabkan kesesakan berlaku di plaza tol ialah berebut laluan antara pengguna 'Smart Tag/Touch & Go' dengan mereka yang tidak mempunyai kemudahan itu. Barangkali laluan khusus untuk memisahkan dua golongan ini perlu dimulakan lebih jauh dari plaza tol.

Pengguna kena main peranan

Sementara mengharapkan pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya mengambil langkah lebih berkesan untuk mengurangkan kesesakan, bukannya mengaut untung kutipan tol semata-mata, kita sebagai pengguna juga perlu memainkan peranan. Selain memastikan tangki minyak penuh dan kenderaan berada dalam keadaan baik, pengguna jalan raya harus banyak bersabar serta mematuhi peraturan terutama larangan menggunakan lorong kecemasan. Ia hanya memerlukan seorang dua pemandu yang kurang ajar melalui lorong itu sebelum dituruti kenderaan lain. Dalam hal ini, lebih banyak kereta peronda polis 'menunggu' mereka yang menggunakan lorong kecemasan bukan sahaja boleh mengatasi masalah itu tetapi turut menyedapkan hati pengguna lebuh raya jika mereka ditimpa kecemasan di tengah kesesakan itu. Op Selamat 2015 selama dua minggu yang dilancarkan polis kelmarin seharusnya bukan setakat memastikan peraturan dipatuhi dan penguatkuasaan ditingkatkan, tetapi memberi keyakinan kepada pengguna jalan raya bahawa bantuan kecemasan tersedia bila-bila masa. Selamat pulang beraya.

234 dibaca
Berita Harian X