Sabtu, 4 Julai 2015 | 1:20pm

Puteri UMNO buat laporan polis terhadap Sarawak Report


KETUA Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - Foto Nurul Shafina Jemenon

ALOR GAJAH: Pergerakan Puteri UMNO hari ini membuat laporan polis terhadap Sarawak Report kerana dipercayai cuba memfitnah dan menjatuhkan reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu dibuat Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Balai Polis Masjid Tanah di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mas Ermieyati mendakwa artikel Sarawak Report itu jelas adalah fitnah kerana tidak disokong dengan bukti yang jelas dan kukuh dan berniat untuk memburukkan prestasi Najib dan kepimpinannya.

"Puteri (UMNO) meminta satu siasatan menyeluruh dibuat terhadap pihak yang terlibat dan bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak mengambil tindakan pantas bagi mengekang perbuatan fitnah itu yang dikhuatiri akan memperdaya dan mempengaruhi orang ramai yang seterusnya boleh mencetus kekeliruan dalam kalangan rakyat.

- BERNAMA

56 dibaca
Berita Harian X