Rabu, 17 September 2014 | 1:32pm
MODEL pelan induk Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP). - Foto Fail NSTP/Zulkepli Osman

MCKIP disasar catat pelaburan RM10 bilion menjelang 2015

NANNING: Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), projek ikon tanda kekukuhan perdagangan dua hala Malaysia-China bakal menerima pelabur baharu dari Eropah dan Australia, sekali gus membantu mengukuhkan sasaran mencatat komitmen pelaburan RM10 bilion di kawasan itu menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John, berkata selain Malaysia dan China, pihaknya turut menerima maklum balas positif daripada pelabur Eropah dan Australia untuk melabur di MCKIP.

"MCKIP dijangka mampu menarik komitmen pelaburan bernilai RM10 bilion menjelang tahun depan dan pada masa ini kita sudah mencapai pelaburan berjumlah RM4.2 bilion menerusi pelabur pertama Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

"Kami yakin baki sasaran pelaburan itu akan diperoleh menerusi beberapa lagi perbincangan daripada syarikat lain termasuk di luar China dan keputusannya dijangka diperoleh seawal Disember ini," katanya ditemui di Ekspo China-Asean ke 11 (CAEXPO ke-11) di sini hari ini.

ECERDC adalah antara syarikat yang mengambil bahagian di astaka Malaysia pada CAEXPO ke-11 yang bermula kelmarin hingga Jumaat ini, di bawah kluster kerajaan.

Mengulas lanjut, Issace John berkata, sebahagian besar daripada syarikat yang berminat melabur di MCKIP terbabit dalam sektor teknologi maklumat (ICT), makanan dan jentera berat.

Mengulas perkembangan pembangunan MCKIP, Issace John berkata, taman perindustrian itu akan menjalani pembangunan fasa kedua bermula hujung tahun ini.

Kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pembangunan prasarana di kawasan perindustrian itu dan hingga kini RM700 juta sudah diperuntukkan bagi pembinaan jalan raya MCKIP ke Pelabuhan Kuantan.

"Kerja pembinaan prasarana sudah bermula bulan ini dan dijangka siap pada akhir tahun depan," katanya.

MCKIP adalah taman perindustrian berkembar dengan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) yang dilancarkan pada 5 Februari tahun lalu.

Ia dibangunkan di tapak seluas 600 hektar di Zon Ekonomi Khas di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan menyasarkan pelaburan dalam industri berteknologi daripada kalangan pelabur Malaysia dan China selain pelabur dari seluruh dunia.

Selain China dan ASEAN, ECERDC juga katanya, turut merancang menarik pelaburan baharu dari Amerika Syarikat (AS).

"Kita berusaha memfokuskan beberapa peluang pelaburan di negara berkenaan terutama syarikat yang terbabit dalam bio teknologi, syarikat yang menggunakan biomas, minyak sawit, bahan-bahan hutan dan kayu," katanya dijangka mengikuti delegasi Malaysia, diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke New York, AS, Ahad ini.

204 dibaca
Berita Harian X