Khamis, 25 Jun 2015 | 12:06am

Bertudung bukan sebab nak kahwin - Elfira Loy


DALAM kegigihannya memajukan perniagaan skaf dan kemeja-T di bawah label Twinklebyelfira yang diusahakan sejak tahun 2013, Elfira Loy juga tak mampu memisahkan dirinya dengan apa sahaja berkaitan fesyen.

Beberapa jenama fesyen mewah sudah terbiasa melekat di tubuh genitnya dan ia dilihat sebagai cara beliau memanjakan diri selepas penat bekerja.

Sekali pun kini sudah tampil berhijab sejak hari lahirnya yang ke-21, Mac lalu, Elfira tetap mengutamakan penampilannya. Bagi gadis manis ini, hijrahnya itu bukan halangan untuk terus bergaya.


ELFIRA anggap berhijab bukan halangan untuk terus bergaya. - Foto Munira Abdul Ghani

Justeru, beliau yang bakal menamatkan pengajiannya hujung tahun ini dalam jurusan seni hiburan di Kolej Damansara Utama (KDU), Glenmarie, Shah Alam, turut berhasrat mengikuti kursus jangka pendek di luar negara dalam bidang fesyen. Namun, hasrat juga disimpan menambah ilmu dalam bidang perniagaan.

"Saya tak tahu mana satu yang akan dibuat dahulu. Tapi kalau bidang fesyen saya mahu belajar di Paris manakala perniagaan saya belum putuskan di mana. Perniagaan itu barangkali sudah biasa dengan saya. Lagipun saya sudah berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

"Begitu juga dengan fesyen. Hampir setiap hari elemen itu begitu dekat dengan kita sebagai manusia, termasuk saya sendiri.

"Jadi kalau sesiapa tanya kenapa saya nak pilih bidang fesyen, ia sebenarnya dekat dengan diri. Setiap hari kita pakai baju dan menggayakannya ikut kesesuaian dan cita rasa. Apabila kita ada gaya sendiri atau semula jadi itulah yang buat aspek fesyen itu lagi menarik. Fesyen itu yang membuatkan kita mahu mengikut aliran. Ia sentiasa ke hadapan. Tapi jangan sampai jadi mangsa fesyen. 'Fashion never dies'.

"Macam saya kini biarpun sudah bertudung, saya tak lihat ia sebagai penamat untuk saya berfesyen. Ia semua bergantung kepada diri sendiri. Apa yang saya rasa sopan, insya-Allah sopanlah hendaknya dan begitulah perkiraan saya kalau sebaliknya. Semuanya bergantung kepada cara pembawaan diri. Saya sebaik mungkin cuba menjaga adab dan tatasusila dalam gaya perempuan bertudung," katanya.


ELFIRA berhasrat mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang fesyen di luar negara. - Foto Munira Abdul Ghani

Elfira tak ketinggalan ditanya mengenai soalan yang sedikit klise apabila bertudung dilihat sebagai ke arah untuk berkahwin. Ketika ini juga gosipnya dengan pelakon Indonesia, Baim Wong, masih tergantung. Kedua-duanya selesa mengkelaskan hubungan itu sebagai kawan rapat.

"Saya masih muda dan tujuan berubah itu atas dasar diri sendiri. Ini yang saya nak dan nantikan. Alhamdulillah, hasrat bertudung itu dipermudahkan ketika sambutan hari lahir 21 tahun yang lalu. Apa yang dilakukan ini sepatutnya saya buat dari dahulu lagi," katanya sekali gus menepis tanggapan berhijab kerana hendak berumahtangga.

Ditanya perubahan ketara selepas bertudung, gadis manis yang baharu sahaja bernaung selama setahun di bawah pengurusan Laugh Out Loud Entertainment ini berkata, tiada perbezaan besar sebelum dan selepas berhijab.

"Cuma pandangan orang terhadap saya lebih positif. Saya rasa lebih selamat dan yakin. Ia umpama fasa baharu dalam hidup saya. Saya juga tidak terlalu berjaga-jaga atau teragak-agak dengan tanggapan orang di luar sana yang pantas menjatuhkan hukuman selepas hijrah ini.

"Saya takut ia akan makan diri. Tapi selagi kita tahu apa yang dilakukan itu betul dan tahu apa yang kita buat, ia sudah memadai. Jadi apa sahaja yang bersifat negatif yang pantas mencari kesilapan, saya biarkan sahaja. Dalam semua hal, kita bertanggungjawab terhadap apa yang kita lakukan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai perancangan terhadap perniagaan, Elfira yang mula dikenali menerusi drama Qalesya di Astro Prima memberitahu, mahu habis-habisan pada tahun ini untuk terus memperkasakan jenama fesyen Twinklebyelfira secara meluas. Ia termasuklah tampil dengan koleksi pakaian kasual 'ready to wear' untuk golongan remaja.

"Untuk projek ready to wear itu saya mahu kumpulkan pasukan yang berminat untuk merealisasikan misi saya. Sambutan kepada jualan skaf dan kemeja-T bagi lelaki dan perempuan antara yang terus membakar semangat saya meneruskan apa yang terbuku di hati. Insya-Allah, pastinya saya akan maklumkan apa sahaja perkembangan ini di media sosial.

"Baru-baru ini, Twinklebyelfira juga ada mengeluarkan minyak wangi bersaiz poket. Alhamdulillah, belum dilancarkan secara rasmi tetapi ketika dipromosikan di setiap acara atau karnival, ia memang laris macam pisang goreng panas. Insya-Allah, saya juga akan muncul dengan premis perniagaan menjual makanan tempatan dan Barat di Alam Damai,Cheras. Kafe itu diberi nama Lovemesevendays.

"Kalau tiada aral melintang, ia akan beroperasi lepas raya nanti. Ketika ini, kami dalam proses memilih chef, menu makanan dan pekerja. Ia perniagaan keluarga," katanya.

Mengenai dunia perniagaan, semuanya tercetus apabila dia bersama rakan kongsi, Santhawan, berada di Bangkok. Elfira cuba memanfaatkan pengaruhnya di laman maya untuk lebih serius dalam dunia berkenaan apatah lagi dia mempunyai jumlah pengikut yang ramai, di laman Instagram contohnya.

"Ketika itu, saya mengacarakan program Mad Markets dan Santhawan menjadi tetamu undangan. Santhawan juga pernah menghasilkan single lagu sebelum ini. Saya tertarik dengan budaya di sana. Malah, orang di sana, jika nak buat sesuatu mereka akan hasilkan sendiri. Daripada situ, saya terfikir apa pula nak buat kalau nak berniaga.

"Santhawan cadangkan saya untuk berniaga skaf. Skaf di Bangkok sangat diminati dan di Malaysia tidak sangat. Skaf di bawah Twinklebyelfira biarpun dijual pada harga RM99 dan saya yakin tak semua yang sanggup mengeluarkan duit untuk membeli dengan harga itu, tetapi Alhamdulillah, skaf itu ada pengikutnya sendiri" katanya.


ELFIRA merancang memperkasakan jenama fesyen Twinklebyelfira secara meluas. - Foto Munira Abdul Ghani

Terlanjur menyebut perihal Instagram, Elfira juga antara selebriti yang menjana pendapatan sampingan menerusi khidmat mempromosikan barangan atau perkhidmatan. Terma yang lebih mudah untuk hal ini ialah igreview (instagram review). Elfira juga antara yang sanggup dibayar mahal mana-mana individu atau syarikat untuk mempromosikan apa sahaja di Instagram.

"Alhamdulillah, dapat juga saya duit poket. Duit itu saya gunakan untuk memanjakan diri. Kalau duit hasil dari titik peluh bekerja keras, saya gunakan untuk masa hadapan atau modal perniagaan. Alhamdulillah, cukuplah wang yang saya dapat itu untuk membantu ibu menampung keluarga kami," katanya.

Dalam pada itu, Elfira menjelaskan sekalipun ketika ini sibuk berniaga, dia belum terfikir untuk meninggalkan kerjaya lakonan. Cuma ketika ini memang dia dilihat memperlahankan rentak dunia seni tetapi semuanya kerana atas paksi memberi tumpuan kepada pengajian yang bakal berakhir tak lama lagi.

Kata Elfira, dia hanya menerima tawaran mengacara atau melakukan penampilan khas sahaja untuk acara tertentu.

"Sampai saat ini, saya tak terfikir untuk tinggalkan kerjaya seni kerana nak fokus berniaga. Impak dan pengaruh dunia seni itu saya tak nafikan sebagai batu loncatan untuk mempromosikan perniagaan. Lepas habis belajar nanti, saya akan buat come back dalam dunia seni. Insya-Allah," katanya.


DUTA Syukur Selalu untuk Ramadan dan Syawal TV3 & TV9, dari kiri, Fedtri Yahya, Fara Fauzana, Zara Zya, Aeril Zafrel, Izrin Azminda, Shukri Yahya, Kakak Azraff, Elfira Loy dan Fadlan Hashim pada sesi prebiu media di The Royal Chulan, Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

INFO ELFIRA LOY

  • Nama penuh: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri.
  • Tahun ini dilantik sebagai duta kempen Ramadan dan Syawal stesen TV3 dan TV9 di samping Ahmad Fedtri Yahya, Farah Fauzana, Aeril Zafrel, Izreen Azminda, Shukri Yahaya, Zara Zya, Fizo Omar, Fadlan Hazim dan Kaka Azraff.
  • Selain pernah bergandingan dengan Baim Wong dalam drama, Elfira juga pernah digandingkan dengan Randy Pangalila, yang juga pelakon Indonesia.
  • Pernah menjadi top 5 finalis Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.
  • Pada usia 12 tahun, gadis berdarah campuran Cina dan Arab ini pada usia 12 tahun berpeluang berlakon teater muzikal Ali Baba arahan Zaifri Husin, yang dipentaskan di Istana Budaya di samping pengacara terkenal, Aznil Nawawi.
    187 dibaca
    Berita Harian X