Khamis, 11 Jun 2015 | 12:02am

Ditimpa penyakit sebahagian kafarah dosa

Soalan: Adakah benar dakwaan segala penyakit yang dialami umat Islam dikira sebagai penghapus dosa.


PENYAKIT adalah salah satu daripada ujian Allah SWT yang sangat berat ke atas hamba-Nya.

Memang benar dakwaan yang mengatakan penyakit menimpa seseorang hamba itu adalah sebahagian daripada kafarah dosa. Dosa akan terampun dengan kesabaran yang dizahirkan oleh hamba yang ditimpa musibah.

Terlalu banyak dalil yang menyokong dakwaan itu antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami akan menguji kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, nyawa (penyakit) dan kekurangan hasil mahsul bumi. Beruntunglah bagi mereka yang sabar atas segala dugaan itu." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Ulama seperti Ibn Kathir berpendapat, penyakit salah satu daripada ujian Allah SWT yang sangat berat ke atas hamba-Nya. Tiada seorangpun manusia waras akan gembira dengan penyakit yang menimpa mereka.

Walaupun begitu, perkara ini bukanlah hak mutlak seorang hamba untuk menolak ujian atau musibah kerana ia fitrah kehidupan yang tidak boleh dielakkan. Atas dasar itu, Islam telah memberi ganjaran yang lumayan bagi mereka yang ditimpa musibah seperti penyakit atau sebagainya.

Umat Islam seharusnya meletakkan dalam pemikiran mereka bahawa musibah yang menimpa masih lagi ringan berbanding ujian yang tempuhi nabi dan rasul sebelum ini.

Maka benarlah sabda Nabi SAW: "Golongan yang paling kuat ditimpa musibah ialah golongan Nabi AS, seterusnya golongan-golongan yang seumpamanya.

Sesungguhnya tiada seorangpun dalam kalangan hamba yang ditimpa musibah kecuali hamba itu berjalan di atas muka bumi ini tanpa sebarang dosa (setelah diampunkan Allah atas kesabaran mereka setelah ditimpa musibah)." (Riwayat al-Tirmizi: hadis hasan)

Soalan: Bolehkah kita mengeluarkan sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia.


SEDEKAH perlu dilakukan ketika hidup bukannya setelah kematian.

Shikh al-Sha'rawi berpendapat, perbuatan mengeluarkan sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia tidak dibenarkan kerana mereka yang telah meninggal dunia tidak akan mendapat manfaat daripada perbuatan itu apatah lagi ia dilakukan oleh orang lain.

Sedekah perlu dilakukan ketika hidup bukannya setelah kematian. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW setelah ditanya mengenai sedekah yang terbaik.

Baginda bersabda: "Sesungguhnya sedekah yang terbaik adalah sedekah yang diberikan ketika kamu sihat dan ketika itu kamu sangat takut kefakiran serta mengharapkan kekayaan."

Hadis ini menjelaskan orang yang kedekut apabila dia mengeluarkan sedekah akan mendapat pahala yang berganda kerana berjaya menyahut sunah Nabi SAW supaya mengeluarkan harta yang disayangi untuk Islam.

Kedua, dia berjaya melawan hawa nafsunya yang menyuruh kepada bakhil, namun nafsu jahat itu berjaya ditinggalkan sehingga dia berjaya mengeluarkan hartanya untuk Islam atas nama sedekah, zakat, wakaf dan sebagainya.

Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya bersedekah untuk diri sendiri sebagai persediaan saat kematian. Perkara ini disarankan oleh Baginda SAW dalam sabdanya: "Jika matinya anak Adam maka akan terputus semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu, sedekah jariah yang pernah dilakukan ketika hayatnya, ilmu yang dimanfaatkan atau anak-anak soleh yang mendoakannya."

Soalan: Saya selalu berdoa, tetapi tiada satu pun doa saya yang dimakbulkan Allah SWT. Adakah itu tandanya Allah SWT murka kepada saya.


DOA ialah memohon sesuatu daripada Allah SWT perkara yang terbaik.

Ada beberapa kemungkinan yang menyebabkan doa saudara tidak dikabulkan Allah SWT. Pertama, mungkin disebabkan apa yang dihajati itu tidak sesuai untuk pemohon dan akhirnya Allah SWT mengurniakan sebaliknya.

Perlu difahami bahawa doa ialah memohon sesuatu daripada Allah SWT perkara yang terbaik. Jarang berlaku seseorang yang waras akan meminta sesuatu yang buruk untuk dirinya. Oleh itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT, seharusnya kita tidak buruk sangka terhadap Allah SWT jika apa yang dipinta dalam doa tidak tercapai.

Mungkin kita lupa bahawa kebaikan yang dikecapi hari ini sebahagian daripada hasil penerimaan Allah SWT kepada doa kita. Mungkin perkara yang kita rasa tidak baik untuk kita itu adalah sebaliknya. Begitulah juga perkara yang kita rasa baik sebenarnya adalah sebaliknya.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan berkemungkinan apa yang kamu rasa tidak baik untuk kamu itu adalah yang terbaik untuk kamu, mungkin pula apa yang kamu rasa baik itu adalah yang terburuk untuk kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Sehubungan itu, bersyukurlah kepada Allah atas segala nikmat yang dikecapi pada hari ini. Tidak mustahil semua itu hasil daripada doa yang kita pohon selama ini. Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Berbaik sangka kepada Allah SWT sangat dituntut dan itulah sunnah Nabi SAW.

Jika apa yang dihajati telah dikabulkan, mereka akan bersyukur dengan meningkatkan ketakwaan. Jika apa yang dihajati tidak dikabulkan Allah SWT, maka mereka akan bersabar dan terus berusaha. Inilah sifat orang beriman.

Kedua, mungkin disebabkan dosa kita yang banyak sehingga Allah SWT menolak segala doa yang dipinta. Sabda Nabi SAW bersabda: "Bagaimanakah seorang lelaki hadir setelah bermusafir yang panjang, keadaannya sangat tidak terurus. Dia pula mengangkat tangan dan berdoa: Ya Tuhan, ya Tuhan akan tetapi makanannya daripada sumber haram, minumannya daripada haram, pakaiannya juga daripada haram dan diberi rezeki daripada sumber yang haram, maka bagaimanakah doa itu akan diterima Allah?" (Riwayat Muslim)

Oleh sebab itu, ulama seperti Imam al-Ghazali telah menyarankan supaya kita sentiasa bersegera bertaubat. Selain itu, kita juga mestilah mematuhi segala adab doa supaya permintaan yang dipanjatkan akan diterima oleh Allah SWT.

Antara adab berdoa ialah sentiasa memelihara ketakwaan, mengulangi doa tanpa jemu, berbaik sangka terhadap Allah SWT yang doa itu akan diterima-Nya, pastikan doa bukan bersifat maksiat, sentiasa berfikiran positif. Jika dia diterima, bersyukur dan jika sebaliknya, sabar serta terus berusaha.

1140 dibaca
Berita Harian X