Rabu, 10 Jun 2015 | 6:37pm

1MDB: Saya sanggup beri penjelasan - Najib


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyatakan kesediaannya untuk memberi penjelasan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Perdana Menteri berpandangan adalah tidak wajar untuk diadakan debat secara terbuka dengan bekas pemimpin negara dan parti itu.

"Ianya tidak membawa sebarang kebaikan kepada UMNO dan Barisan Nasional. Saya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, bertanggungjawab untuk menjaga nama baik kerajaan dan parti.

"Tun Mahathir berhak bertanya dan saya sanggup memberi penjelasan kepada beliau. Ini saya lakukan agar perkara munasabah yang dibangkitkan Tun Mahathir dapat dijelaskan," katanya dalam kenyataan di laman web rasmi beliau, najibrazak.com.

Najib berkata, beliau juga akan terus menyampaikan maklumat dalam apa juga cara yang baik dan berhemah.

"Ini termasuklah menerima undangan NGO (badan bukan kerajaan), dan saya akan berjumpa dengan kumpulan NGO dalam masa yang akan datang ini," katanya.

Beliau turut menghargai jemputan NGO dan setuju untuk hadir ke majlis yang dinamakan "Dialog PM bersama NGO" pada mulanya bagi berdialog mengenai isu semasa.

Sesi dialog itu juga, kata Najib sepatutnya menjadi platform bagi menjelaskan bahawa wang 1MDB sebanyak RM42 bilion tidak lesap sebagaimana didakwa oleh Tun Mahathir.

"Majlis ini sudah bertukar format, daripada satu majlis dialog tertutup kepada majlis pembahasan terbuka.

"Perubahan seperti ini akan mengakibatkan majlis ini menjadi pencetus konfrontasi politik terbuka antara Tun Mahathir dengan saya," katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, Kementerian Kewangan bersama 1MDB sudah melaksana satu pelan rasionalisasi untuk mengurangkan tahap hutang syarikat terbabit.

"Baru baru ini, 1MDB telah berjaya membuat pembayaran sebanyak RM3.6 bilion, ke arah mencapai matlamat ini. Namun, amat dukacita apabila usaha ini tidak disambut baik oleh pihak yang mengkritik hutang 1MDB," katanya.

281 dibaca
Berita Harian X