Isnin, 11 Mei 2015 | 11:45pm

Kesepaduan dalam UMNO akan dapat dicapai - Najib


NAJIB menyampaikan ucapan pada sambutan Hari UMNO kali ke-69 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menzahirkan kepercayaan tinggi bahawa kesepaduan dalam UMNO akan dapat dicapai jika kepemimpinan tertingginya seiring dalam perjuangan dan bersatu padu.

Presiden UMNO berkata, biarpun pelbagai onak duri serta dugaan dilalui parti keramat Melayu ini, apabila pemimpinnya mempunyai sokongan yang kuat, sudah pasti di akhirnya parti itu mampu mencipta kejayaan.

"Telah dibuktikan bahawa begitu banyak ujian getir yang telah dilalui UMNO sejak penubuhannya, semuanya telah dapat kita tempuhi dengan jayanya.

"Bila pemimpin mempunyai sokongan dan dokongan yang kuat, maka kita percayalah bahawa boleh berjaya. Saya masih percaya pada formula itu untuk memastikan UMNO terus berjaya," katanya.

Najib turut mengakui biarpun ada pelbagai pihak menyuarakan kritikan terhadapnya dan mahu melihat pemimpin UMNO saling berpecah, namun ia belum tentu melambangkan keadaan sebenar di dalam parti.

"Mesyuarat Majlis Tertinggi petang tadi boleh dianggap antara yang terbaik. Di luar ada macam-macam pihak mahu melihat kita berpecah. Mereka itu bukan sayangkan parti.

"(Maka) saya percaya kalau kita punyai barisan pemimpin yang serasi, percaya antara satu sama lain, itu adalah isyarat jelas.. iaitu apabila diatas kukuh, maka di bawah pun akan bersepadu," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-69, bertemakan "Melayu Bersatu" di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; barisan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; barisan Ahli Majlis Tertinggi, kepemimpinan sayap wanita, pemuda dan puteri serta pemimpin UMNO akar umbi.

Najib turut menyedari bahawa beliau kini perlu memimpin sebuah parti yang mendapat sokongan kuat daripada rakyat, mendorong dirinya untuk terus berjuang membela dan mendahulukan rakyat.

"Kita akan teruskan dasar kita. Walaupun ada kalanya (dasar yang diperkenal itu ) dilihat kurang popular, tapi saya yakin di akhirnya nanti kita akan tahu manfaatnya," katanya.

Beliau turut menegaskan, biarpun kini di media sosial pemimpin dan parti sering menjadi bahan tohmahan dan fitnah yang ada kalanya lebih mengutamakan persepsi daripada realiti, namun perlu dipastikan bahawa UMNO mesti menjadi parti yang terus relevan di masa akan datang.

271 dibaca
Berita Harian X