Isnin, 11 Mei 2015 | 1:27am

Impian Liga Juara-Juara Liverpool berakhir; seri 1-1 temu Chelsea


GERRARD menjaringkan gol pertama untuk Liverpool. - Foto Reuters

LONDON: Sisa-sisa harapan Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara berakhir, Ahad selepas seri 1-1 ketika menentang juara baharu Liga Perdana Inggeris, Chelsea di Stamford Bridge.

Kedua-dua gol menyusul daripada tandukan bekas kapten England, dengan ketua pasukan Chelsea, John Terry membuka tirai jaringan pada minit kelima sebelum gol itu dikikis oleh rakan sejawatannya dari Liverpool, Steven Gerrard pada minit ke-44.

Gol Gerrard itu mengelak dia daripada menempah satu lagi kekalahan dalam kemunculan terakhir baginya di Stamford Bridge.

Namun, dengan Liverpool kini enam mata di bawah Manchester United dan perbezaan gol yang amat besar, impian empat teratas mereka sudah berakhir.

Kini hanya tiket ke Liga Europa menjadi pertaruhan dan fokus akan mengalih kepada pertemuan menentang Crystal Palace, minggu depan.

Ia juga kemunculan terakhir buat Gerrard di Anfield sebelum berpindah ke kelab Los Angeles Galaxy.

Sebelum perlawanan bermula pemain Liverpool berbaris memberi penghormatan kepada pemain Chelsea ketika anak didik Jose Mourinho melangkah masuk ke gelanggang. - AFP

116 dibaca
Berita Harian X