Jumaat, 8 Mei 2015 | 12:02am
SEL stem kulit mempunyai fungsi khusus untuk memperbaharui dan memperbaiki kulit.

Awet muda secara semula jadi

TEKNIK Platelet Rich Plasma (PRP) yang juga dikenali sebagai Vampire Facial semakin mendapat tempat dalam dunia perubatan kecantikan. PRP turut diamalkan untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan mengatasi pelbagai masalah kesihatan yang lain.

Teknik ini seakan-akan memberi dimensi baharu dalam bidang kecantikan kerana proses ini menggunakan darah pesakit yang diproses bagi mengasingkan plasma darah. Ia berbeza berbanding rawatan menggunakan fillers atau botox.

Di negara maju seperti Jepun dan Eropah, PRP digunakan dalam bidang perubatan seperti pembedahan jantung, ortopedik, urologi dan kini semakin meluas dalam perubatan sukan seperti merawat ligamen serta tendon terkoyak.

Seiring dengan perkembangan teknologi, sekitar tahun 2000, rawatan ini mula digunakan dalam bidang perubatan aestetik di negara maju, tidak terkecuali di negara ini.

Menerusi kajian yang pernah dilakukan di Eropah, England, Asia (termasuk Jepun) dan Afrika Selatan, ia menunjukkan PRP berfungsi memulihkan keremajaan kulit, mengurangkan parut serta menghilangkan jeragat, garis, lekuk pada wajah serta ulser diabetes membabitkan penggunaan plasma yang kaya platelet.

Ini kerana platelet ialah partikel kecil dalam darah yang mempunyai nilai aestetik yang tinggi dan merangsang hormon tumbesaran. Hormon ini berfungsi merangsang penyembuhan, pembaharuan dan meningkatkan keupayaan sel sekali gus menambah keanjalan kulit.


TEKNIK Platelet Rich Plasma.

Darah pesakit sebagai asas

Dalam bidang kecantikan, darah pesakit digunakan sebagai sumber mendapatkan sel stem. Ini kerana darah lebih mudah diproses berbanding sumber daripada lemak atau sum-sum tulang. Darah terbina daripada sel hidup.

Ada empat sel utama yang membina darah iaitu sel darah merah, darah putih, platelet dan plasma darah. Setiap sel mempunyai fungsi tersendiri dan struktur yang amat penting untuk tubuh manusia.

Sel darah merah berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh manakala sel darah putih ialah sel hidup yang membantu melawan penyakit.

Menerusi rawatan PRP, darah diambil sebanyak 10 mililiter (ml) dari lengan pesakit. Kemudian ia diletakkan di dalam tabung khas sebelum dimasukkan di dalam mesin selama 10 hingga 15 minit untuk memisahkan serum dan sel darah merah.

Selepas menjalani beberapa proses, serum yang mengandungi sel stem, platelet dan hormon dihasilkan. Menerusi proses ini, plasma iaitu cairan bening pada bahagian atas mengandungi banyak sel penyembuhan.

Kulit jadi gebu

Apabila bahan ini dimasukkan kembali ke bahagian tertentu ia akan membina sel baharu. Suntikan ke bahagian wajah akan mula membaiki sel kulit dan meremajakan muka secara semula jadi.

Kulit akan menjadi lebih gebu, bersinar, bersih dan tegang. Jika ia disuntik di kulit kepala, ia mampu membuatkan rambut lebih lebat dan sihat.

Rawatan ini selamat dilakukan kerana hanya sel stem manusia saja boleh digunakan untuk merawat dan memudahkan sel manusia. Sel stem buah-buahan, contohnya sel stem epal atau sel stem daripada haiwan tidak boleh bertukar atau merawat sel manusia.

Rawatan ini tidak menggunakan bahan lain kecuali sel stem daripada badan sendiri. Oleh yang demikian, tidak timbul masalah alahan atau kes sampingan yang lain. Sel stem ialah satu-satunya sel yang memiliki keupayaan untuk memperbaharui dan menambah kolagen.

Menganjalkan kulit

Sel stem kulit mempunyai fungsi khusus untuk memperbaharui dan memperbaiki kulit. Tubuh merangsang sel kulit untuk menghasilkan protein, karbohidrat dan lipid bagi mengurangkan garis halus dan kedutan, di samping mengembalikan serta mengekalkan keanjalan kulit.

Pembahagian sel stem juga penting untuk penghasilan kulit yang sihat. Satu lagi faktor penting ialah sel stem tidak boleh dibotolkan atau disimpan di bawah suhu biasa.

Sel stem sama ada disimpan di makmal dengan persekitaran dan suhu tertentu atau diproses untuk digunakan serta-merta.

Suntikan PRP memberi banyak manfaat kepada kulit wajah dan badan. Kesannya akan mula kelihatan selepas dua minggu melakukannya. Selepas sebulan, kulit akan lebih segar dan tampak lebih anjal berbanding sebelumnya.

Kaedah ini sesuai untuk mereka yang berusia 30 tahun ke atas kerana pada peringkat ini, kulit mula mengalami kesan penuaan. Hormon yang berkurangan turut memburukkan keadaan menyebabkan seseorang tampak tua dan kaedah PRP mengembalikan semula keremajaan kulit.

Bagi mereka yang mempunyai parut terutama bekas jerawat pada muka, kaedah ini mampu mengurangkan kesan parut selepas tiga minggu.

Tiada pantang larang

Bagi pesakit kencing manis pula, biasanya mereka mudah mendapat luka dan lambat sembuh. Ini kerana kurangnya faktor rangsangan sel endotelium. Oleh kerana pesakit kencing manis mempunyai kadar gula yang tinggi di dalam tubuh, kuman juga mudah menyerang.

Suntikan PRP pula mampu merangsang penyembuhan luka sekali gus membantu pesakit diabetes. Bagi pesakit yang mempunyai masalah ketara, mereka dinasihatkan menjalani rawatan sebulan sekali untuk tiga hingga empat bulan.

Hasilnya akan bertahan selama setahun sehingga dua tahun selepas suntikan dihentikan bergantung pada individu.

Bagi mereka kali pertama melakukannya, mereka akan merasa sakit sedikit dan kurang selesa, manakala kulit akan menjadi sedikit sembab disebabkan bekas suntikan serta proses reaksi yang mengambil masa sehari atau dua hari.

Namun, mereka boleh terus lakukan aktiviti harian mereka tanpa ada pantang larang.

448 dibaca
Berita Harian X