Khamis, 4 September 2014 | 6:44pm

Piala Malaysia: Dua juara liga tunjuk belang; suku akhir dijangka sengit, dramatik

KUALA LUMPUR: Kesudahan saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia menjurus kepada dua juara liga yang mula dilabel antara pilihan apabila saingan suku akhir bermula, Oktober ini.

Juara baru Liga Super - Johor Darul Ta'zim (JDT) gah muncul juara Kumpulan C selepas merakamkan kempen tanpa kalah dengan PDRM - juara Liga Perdana turut garang melakar kejayaan sama di Kumpulan D.

Selepas Piala Malaysia membuka tirainya 21 hari lalu, kini lengkaplah teka-teki lapan pasukan yang layak.

JDT dan PDRM masing-masing mengumpul 16 mata keseluruhan selepas mencatat lima kemenangan dan sekali seri. Kedua-dua pasukan mara selesa tanpa perlu menunggu perlawanan terakhir.

Berbanding musim lalu yang menyaksikan hanya satu wakil dari Liga Perdana layak ke suku akhir, kali ini tiga pasukan daripada liga divisyen dua negara itu mara untuk memburu pengiktirafan.

Lebih menarik, selain PDRM dua lagi pasukan - FELDA United dan Kedah - masing-masing turut menguasai Kumpulan A dan B.

Selain JDT, PDRM, Kedah dan FELDA, empat pasukan lain yang turut layak ialah Pahang, Terengganu, Kelantan dan juara 32 kali, Selangor yang terus memburu kejayaan silam.

Mengimbau perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini - boleh dikatakan jadual perlawanan yang padat membantutkan sedikit tempo permainan.

Tanpa sebarang rehat, setiap pasukan terpaksa bermain dua perlawanan seminggu bagi memberi laluan kepada aksi persahabatan dan persiapan menjelang temasya Sukan Asia di di Incheon, Korea Selatan.

Begitupun, apa juga yang dipersembahkan setiap pasukan, ia tetap satu perlawanan menghiburkan, memberi debaran dan drama panas dalam dan luar padang.

Apa yang pasti, aksi dalam Kumpulan B boleh dianggap paling panas dan mendebarkan malah siapa yang layak hanya ditentukan pada hari terakhir perlawanan.

Malah, Perak yang menduduki tangga teratas kumpulan ketika berbaki satu perlawanan, akhirnya gigit jari selepas tewas pada aksi terakhir menentang Kedah dengan Terengganu mengambil jalan selamat mencatat keputusan seri menentang Sarawak di laman sendiri.

Bagi ketua jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim, tempoh rehat kira-kira sebulan mahu dimanfaat sepenuhnya sebelum saingan suku akhir Piala Malaysia bermula.

Malah, katanya, seandainya anak buahnya berjaya menyingkirkan JDT di suku akhir nanti, tidak mustahil kita mampu melangkah ke final pada tahun ini.

Bagi jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic aksi peringkat kumpulan anak buahnya memang kurang memuaskan namun ia bukanlah penentu mereka dalam kempen musim ini.

"Selepas lapan bulan saya melatih Selangor, saya gembira dengan prestasi mereka. Sekalipun tanpa pemain bintang, kami masih mampu ke berjuang ke saingan suku akhir," katanya dengan Selangor berdepan FELDA di suku akhir.

Bagi jurulatih kebangsaan bawah 23 tahun, Datuk Ong Kim Swee, Piala Malaysia kali ini 'mengorbankan' seorang pemainnya untuk dibawa ke Incheon.

Pada hari terakhir semalam, pemain tengah Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria atau 'kecik' terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Incheon selepas berdepan kecederaan.

Apa yang pasti, aksi suku akhir yang bermula awal Oktober ini - selepas berakhir temasya Sukan Asia - pasti lebih mendebarkan.

96 dibaca
Berita Harian X