Ahad, 29 March 2015 | 12:04am
Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeriksa tunggul pokok Merbau terbesar yang ditemui bersebelahan zon penampan alur air di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Seorang pegawai Unit Forensik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), menanda salah satu kawasan yang dikenalpasti berlaku penebangan pokok secara haram dan tidak mempunyai Penandaan Pokok (tagging) bertempat di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Kawasan yang dikenal pasti berlaku penebangan pokok secara haram dan juga tunggul yang tidak mempunyai Penandaan Pokok (tagging) di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan Perhutanan Perak berbincang selepas mengenalpasti kawasan penebangan pokok secara haram dan tunggul yang tidak mempunyai Penandaan Pokok (tagging) di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan Perhutanan Perak meneliti pokok yang ditebang secara haram di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Pegawai Jabatan Perhutanan Perak memeriksa pokok yang dikenalpasti ditebang secara haram di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Kayu balak yang ditinggalkan selepas penebangan pokok secara haram di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Jabatan Perhutanan menyediakan pasukan bermotor bagi meninjau kawasan Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan Perhutanan Perak berkumpul ketika meninjau Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Pegawai Unit Forensik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), menanda salah satu kawasan penebangan pokok secara haram dan tidak mempunyai Penandaan Pokok (tagging) di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib
Antara tunggul pokok merbau yang dikenalpasti ditebang di kawasan larangan iaitu zon penampan alur air di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib

Pembalak terus rakus 'ratah' hutan

GERIK: Hutan Simpan Temengor di Banding dekat sini terus menjadi sasaran pembalakan haram, kali ini balak bernilai tinggi termasuk dianggarkan berusia 150 tahun dikebas.

Dalam serbuan terbaharu pihak berkuasa di hutan simpan itu, Khamis lalu, lebih 80 pokok balak berusia 150 tahun didapati ditebang secara haram di situ.

Berdasarkan keadaan tunggul pokok yang kebanyakan jenis merbau dan warna kayu yang kelihatan masih segar, kegiatan itu dipercayai baru dilakukan.

Malah, ada permukaan tunggul berkenaan luasnya boleh menampung lima orang dewasa duduk bersila di atasnya.


Kawasan penebangan pokok secara haram dan juga tunggul yang tidak mempunyai Penandaan Pokok (tagging) di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib

Lokasi kegiatan haram itu yang terletak kira-kira 540 meter dari aras laut berada di luar kawasan blok yang diberi kebenaran oleh Jabatan Perhutanan kepada pelesen untuk membalak.

Penemuan itu dibuat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Unit Integriti dan Unit Forensik, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan Perhutanan Perak dalam Ops Bersepadu selama dua hari, bermula Khamis lalu.

Februari lalu dan awal bulan ini, agensi sama membongkar penipuan bayaran royalti dan ses kayu balak di kawasan sama berikutan penahanan empat lori bersama muatan 114 balak.

Lokasi terbaharu itu ditemui ketika pasukan penyiasat berpatah balik selepas tidak dapat memasuki kawasan yang menjadi sasaran utama mereka berikutan jambatan merentasi sungai di laluan balak dihanyutkan air.


Salah satu tunggul pokok merbau yang dikenalpasti ditebang di kawasan larangan iaitu zon penampan alur air di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib

Difahamkan kawasan sasaran itu dipercayai berlaku banyak kecurian kayu merbau iaitu kayu yang hampir menyamai kualiti cengal.

Ketika berpatah balik, pegawai SPRM memeriksa blok yang dikatakan mendapat kebenaran kerja membalak, namun selepas menyusuri dan mendaki kawasan berbukit itu, pasukan penyiasat menemui tunggul yang tidak mempunyai penanda pokok (tagging) walaupun pokok itu kelihatan baru ditebang.

Pemeriksaan lanjut mendapati hampir 80 tunggul kebanyakan jenis merbau tiada penanda.

Penanda pokok adalah nombor siri dan tandanya berwarna putih menunjukkan kebenaran diberikan Jabatan Perhutanan kepada pelesen untuk menebang pokok itu.   Wartawan BH yang turut serta dalam operasi dua hari itu juga menemui kesalahan penebangan balak di kawasan larangan iaitu zon penampan alur air. Malah, tunggul pokok merbau terbesar ditemui bersebelahan zon penampan alur air.


Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan Perhutanan Perak meneliti kawasan yang berlaku penebangan pokok secara haram di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib

Hampir semua pokok merbau turut mempunyai banir yang besar sekali gus menunjukkan usianya melebihi 100 tahun, namun ditebang secara haram dengan Kerajaan Perak kerugian dari segi hasil kutipan royalti dan ses balak.

Dalam pemeriksaan sama, Unit Forensik JPSM turut menemui batang balak dari jenis meranti bukit yang ditebang dan dibiarkan begitu sahaja.

Sementara itu, satu lagi pasukan SPRM dan Jabatan Perhutanan turut memasuki dua lokasi blok balak di kawasan yang sudah diserbu mereka pada 4 dan 5 Mac lalu, untuk siasatan susulan selepas penahanan empat lori bersama muatan 114 balak bernilai hampir RM300,000 di Lenggong pada 12 Februari lalu.

Siasatan mendapati ada tunggul kayu dalam kawasan dibenarkan pembalakan tidak sepadan dengan kayu yang disita.


Sebahagian kawasan penebangan pokok secara haram dan juga tunggul yang tidak mempunyai Penandaan Pokok (tagging) bertempat di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib

Selain itu, ada nombor penanda kayu yang disita daripada lori, namun apabila disiasat di lokasi balak mendapati pokok yang sepatutnya sudah ditebang sebenarnya belum dipotong sekali gus menimbulkan keraguan balak itu dicuri di lokasi lain.

Jabatan Perhutanan menyiasat semua kes itu mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

SPRM juga menyiasat maklumat ada kakitangan Jabatan Perhutanan tidak membuat penandaan pada pokok sebaliknya menyerahkan tugasan itu kepada kontraktor balak untuk diletakkan sendiri.


Kerakusan pembalak menceroboh hutan dikesan di Hutan Simpan Temengor, Banding. - Foto Farhan Najib

BH difahamkan, SPRM sudah membuka tiga kertas siasatan mengikut Akta SPRM 2009 berhubung kes itu.

Akhbar ini sebelum ini menyiarkan laporan ekslusif pembongkaran SPRM terhadap kegiatan penipuan bayaran royalti dan ses kayu balak yang dikeluarkan dari kawasan hutan di daerah Hulu Perak, pada 12 Februari lalu.

Antara balak ditebang, termasuk jenis meranti bukit, meranti sarang punai, meranti tembaga, jelutong, nyatoh, mersawa, kedondong, kasai, mengkulang, geronggang, medang, mempening dan podo.

140 dibaca
Berita Harian X