Sabtu, 7 March 2015 | 12:03am
ANGGOTA SPRM Unit Integriti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Perak bersama berbincang di tapak yang dikenal pasti berlaku pencurian balak di luar kawasan yang dibenarkan di Hutan Simpan Temengor. - Foto Farhan Najib
ANGGOTA SPRM Unit Integriti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Perak bersama berbincang di tapak yang dikenal pasti berlaku pencurian balak di luar kawasan yang dibenarkan di Hutan Simpan Temengor. - Foto Farhan Najib
ANGGOTA SPRM Unit Integriti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Perak bersama turun ke tapak pembalakan untuk mengenalpasti kawasan yang berlaku pencurian balak di luar kawasan yang dibenarkan di Hutan Simpan Temengor. - Foto Farhan Najib
ANGGOTA SPRM Unit Integriti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Perak bersama turun ke tapak pembalakan untuk mengenalpasti kawasan yang berlaku pencurian balak di luar kawasan yang dibenarkan di Hutan Simpan Temengor. - Foto Farhan Najib
ANGGOTA SPRM Unit Integriti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Perak bersama turun ke tapak pembalakan untuk mengenalpasti kawasan yang berlaku pencurian balak di luar kawasan yang dibenarkan di Hutan Simpan Temengor. - Foto Farhan Najib

Tinggal tunggul


ANTARA tunggul balak yang ditemui oleh anggota SPRM Unit Integriti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Perak di kawasan Hutan Simpan Temengor. - Foto Farhan Najib

BANDING: Siasatan dan pemeriksaan di dua kawasan pembalakan di Hutan Simpan Temengor dekat sini, mendapati berlaku kes mencuri balak di luar kawasan lesen yang dibenarkan, selain penebangan balak di zon penampan alur air yang dilarang dilakukan.

  Kegiatan itu disahkan sekumpulan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Unit Integriti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Perak dalam siasatan yang dibuat di kawasan berkenaan pada Rabu dan Khamis lalu.

  Ia susulan pendedahan BH berhubung tindakan Ops Bersepadu dilakukan SPRM bersama Jabatan Perhutanan Perak dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 12 Februari lalu, yang menahan dan menyita empat lori membawa 114 batang balak bernilai tinggi yang ditipu bayaran ses dan royaltinya hingga menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan negeri.

  Seramai 35 pegawai dan anggota SPRM, Unit Integriti JPSM dan Jabatan Perhutanan Perak mengambil masa agak lama untuk sampai ke kawasan pembalakan berkenaan kerana kedudukannya yang jauh.

  Malah, pasukan yang turut disertai wartawan BH terpaksa bermalam di kawasan kongsi di matau atau bagan (tempat pengumpulan kayu) utama di pinggir Tasik Temengor kerana memerlukan masa secukupnya untuk memeriksa kedua-dua kawasan balak terbabit.

  Dalam siasatan ke lokasi pertama Rabu lalu, kumpulan penyiasat menaiki bot dari Kompleks Jeti Awam Pengkalan Aman di Pulau Banding, pada jam 10.53 pagi, sebelum tiba di matau utama di pinggir tasik berkenaan selepas menempuh perjalanan hampir 40 minit.

  Pasukan penyiasat kemudian menaiki lima kenderaan pacuan empat roda meredah laluan balak melalui kawasan gunung ganang sehingga tiba di kawasan balak seluas 80 hektar yang diluluskan kepada sebuah syarikat sejak awal tahun ini.

  Siasatan pasukan termasuk tinjauan di lorong penarik (laluan untuk menarik kayu balak ke laluan utama jalan balak) pada mulanya seakan tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan pelesen balak di situ.

  Namun selepas pasukan turun lebih jauh meredah kawasan hutan ke bawah cerun, pasukan mula mengesan satu persatu kesalahan termasuk penemuan tunggul balak yang kemudian lapan daripadanya disahkan berada di luar kawasan lesen yang diluluskan selepas Renjer Hutan membuat semakan menggunakan alat GPS.


ANTARA kawasan balak yang disahkan berada di luar kawasan lesen yang diluluskan dan penebangan pokok di kawasan larangan iaitu zon penampan alur air di Hutan Simpan Temengor. - Foto Farhan Najib

  Kesalahan lain dilakukan adalah penebangan pokok dalam kawasan larangan iaitu zon penampan alur air di dalam kawasan pelesen berkenaan.

  Mengikut peraturan, penebangan di kawasan zon penampan alur air dilarang walaupun dalam kawasan lesen yang dibenarkan. Namun tinjauan di situ mendapati pelesen tidak mempedulikan larangan berkenaan walaupun dengan menebang balak melepasi kawasan tandaan kuning yang ada di situ.

  Malah lebih dikesali ada pokok atau tual (keratan) balak serta sisa tebangan dibiarkan begitu sahaja hingga menutupi kawasan alur air di situ.

  Pemeriksaan Jabatan Perhutanan mendapati pokok ditebang daripada jenis meranti bukit, meranti sarang punai, jelutong, nyatoh, mersawa, kedondong, kasai dan mengkulang.

  Pasukan siasatan turut menemui tanda cat merah pada pokok yang meragukan kerana catnya masih baharu sedangkan kerja penandaan itu sudah dilakukan kira-kira dua tahun lalu. Pihak Jabatan Perhutanan sedang menyiasat kemungkinan kesalahan mengubah tanda kawasan sempadan balak.

  Berdasarkan penemuan itu, pihak Jabatan Perhutanan akan membuat pemeriksaan dan siasatan secara terperinci membabitkan kawasan balak berkenaan dan akan mengambil tindakan kerana melanggar syarat lesen di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

  Berdasarkan maklumat, aktiviti pembalakan di situ mencapai tahap 40 peratus sebelum kesemua kerja berkenaan dihentikan serta-merta berikutan tindakan Jabatan Perhutanan mengeluarkan Notis Arahan Memberhentikan Kerja Hutan dan Menghentikan Pengeluaran Hasil Hutan (Borang 2) pada 13 Februari lalu.


SEORANG anggota Jabatan Hutan Perak mengukur kayu balak yang ditebang ketika operasi bersama di kawasan pembalakan di Hutan Simpan Temengor. - Foto Farhan Najib

  Tindakan tegas itu dibuat sehari selepas kes penahanan empat lori milik tiga syarikat yang ditahan kerana membawa balak yang ditipu bayaran ses dan royaltinya dalam operasi di Hentian Rehat dan Rawat Selat Pagar, Lenggong, sehari sebelum itu.

  BH sebelum ini menyiarkan laporan ekslusif mengenai tindakan SPRM membongkar kegiatan penipuan bayaran royalti dan ses kayu balak yang dikeluarkan dari kawasan hutan di daerah Hulu Perak, kawasan aktif pengeluaran hasil itu di Perak, berikutan penahanan empat lori dan muatan 114 balak termasuk jenis meranti sarang punai, meranti tembaga, keruing dan medang bernilai hampir RM300,000.

  Semua lori itu dipintas di laluan antara Gerik-Lenggong dan pemeriksaan isi padu balak dilakukan di Kawasan Rehat dan Rawat Selat Pagar di Lenggong kemudian mendapati berlaku penipuan bayaran ses dan royalti iaitu kurang sehingga sebanyak RM1,200 daripada jumlah sebenar yang sepatutnya dibayar.

  Pihak Jabatan Perhutanan Perak mengesahkan tiga daripada lori berkenaan adalah milik dua syarikat balak manakala sebuah lagi lori milik syarikat lain yang membawa keluar balak dari kawasan hutan tanah kerajaan di Pengkalan Hulu. Pihak jabatan berkenaan turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Siput sebaik operasi tamat pada hari berkenaan dan kemudian menyita kesemua lori dan muatannya untuk tindakan lanjut.

  Jabatan Perhutanan Perak juga akan membuat siasatan dalaman bagi menentukan sama ada pegawai atau kakitangannya cuai atau terbabit dalam salah laku hingga menyebabkan wujud kegiatan penipuan bayaran royalti dan ses kayu balak yang dikesan di daerah Hulu Perak.

IKUTI SIRI KEDUA PEMERIKSAAN DAN SIASATAN DI SATU LAGI KAWASAN BALAK YANG DIKESAN TURUT BERLAKU KESALAHAN DALAM LAPORAN ESOK

120 dibaca
Berita Harian X