Isnin, 2 March 2015 | 12:12am

Hanya satu klik curi data peribadi

KUALA LUMPUR: Satu klik pada pautan yang diterima menerusi e-mel boleh menyebabkan seseorang menjadi mangsa sindiket penipuan siber yang mencuri data peribadi.

Kaedah itu menjadi taktik terbaharu penjenayah siber bagi menggodam e-mel tanpa disedari oleh mangsa.

Antara cara dikesan ialah penghantaran e-mel tertera arahan `klik di sini jika tidak dapat membaca mesej' yang mengandungi pautan khusus.

Apabila mangsa menekan pautan itu, penggodam mendapat akses kepada maklumat senarai kenalan mangsa, termasuk alamat e-mel dan data peribadi.

Hantar secara automatik

Malah, klik di pautan itu akan menyebabkan e-mel sama dihantar kepada mangsa lain secara automatik, menyebabkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan atau spam ini.

Kakitangan swasta, Samad Rahim, 62, yang pernah menjadi mangsa penipuan internet berkata, mangsa dipercayai dipilih secara rawak.

"Beberapa hari lalu saya menerima e-mel daripada anak lelaki dengan mesej `klik di sini jika tidak dapat membaca mesej'.

"Apabila saya klik, yang keluar cuma skrin kosong. Saya hanya menyedari ia spam apabila rakan menelefon dan bertanyakan kandungan e -mel yang saya hantar," katanya kepada BH, semalam.

Beliau berkata, e-mel berkenaan dibuka oleh penerima kerana nama penghantar adalah kenalan terdekat atau ahli keluarga.

Maklumat sulit

Apa yang membimbangkan, katanya, pelbagai maklumat sulit disimpan dalam e-mel seperti nombor pengesahan peribadi (PIN) akaun bank dan nombor kad pengenalan.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan, turut menjadi mangsa sindiket penipuan menerusi e-mel berkenaan.

"Rupanya satu klik itu sudah membuka ruang kepada penjenayah menggodam maklumat di telefon bimbit dan komputer peribadi saya.

"Ada rakan mendakwa mendapat e-mel yang kononnya dihantar oleh saya dan meminta mereka memasukkan kata laluan baharu, kononnya atas faktor keselamatan bagi mengelak maklumat digodam.

"Sebenarnya itu adalah perangkap mendapatkan data peribadi mangsa," katanya.

156 dibaca
Berita Harian X