Isnin, 23 Februari 2015 | 7:00pm

Pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang dibentang bulan depan - Ahmad Zahid


DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi memerhati Maria Grazia Giammarinaro menandatangani buku pelawat ketika menerima kunjungan di pejabatnya di KDN di sini hari ini. Turut sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 pada sidang Dewan Rakyat bulan depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menyatakan komitmen Malaysia untuk memerangi pemerdagangan manusia kepada Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pemerdagangan Orang terutama wanita dan kanak-kanak, Maria Grazia Giammarinaro yang mengunjunginya di sini hari ini, beliau berkata cadangan pindaan itu akan memastikan tindakan Malaysia sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.

"Ia juga akan membantu memperbaiki kedudukan Malaysia semasa laporan tahunan Pemerdagangan Orang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat, terutama bagi 2015," kata beliau kepada pemberita selepas pertemuan itu di pejabatnya di sini.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan terus menambah baik inisiatif untuk memerangi jenayah seperti itu termasuk mengukuhkan Majlis bagi Sekretariat Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) yang kini dikenali sebagai Pejabat Strategik Nasional untuk MAPO (NSO-MAPO) sejak bulan lepas.

Beliau berkata, Pelapor Khas PBB itu melahirkan penghargaan beliau terhadap inisiatif Malaysia bagi memerangi masalah pemerdagangan manusia.

Giammarinaro dalam rangka lawatan di Malaysia bermula hari ini hingga Sabtu atas jemputan kerajaan sebagai sebahagian daripada komitmen dan ikrar negara semasa Laporan Kajian Semula Berkala Universal (UPR) kedua dikeluarkan pada 24 Oktober 2013 di Geneva.

Beliau juga dijangka melawat ke pusat-pusat perlindungan bagi mangsa pemerdagangan manusia selain mengadakan pertemuan dengan agensi penguat kuasa berkaitan dan pengamal undang-undang.

Giammarinaro dijadual membentangkan laporannya mengenai Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada Jun ini.

- BERNAMA

223 dibaca
Berita Harian X