Selasa, 10 Februari 2015 | 11:05pm

Semua pasukan Asia beraksi pusingan awal Piala Dunia 2018


Ketua Pertandingan Kelayakan Piala Dunia FIFA dan Olimpik, Gordan Savic menunjukkan hasil cabutan undi Kelayakan Pusingan Pertama bagi Asia FIFA World Cup Russia 2018 dan Asian Football Confederation (AFC) 2019, di Wisma AFC di Bukit Jalil di Shah alam, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini mengesahkan semua pasukan Asia beraksi pada perlawanan pusingan awal Piala Dunia 2018.

Ketua Kelayakan Piala Dunia FIFA dan Olimpik, Gordon Savic berkata perlawanan peringkat rantau Asia akan bermula pada 12 Mac, dengan 12 pasukan bersaing bagi merebut enam slot ke Pusingan Kedua.

"Kami amat gembira untuk mengetahui dan mengesahkan semua pasukan Asia bersaing dalam perlawanan pusingan awal kelayakan Piala Dunia FIFA 2018, kali ini.

"Kami mengalu-alukan semua pasukan untuk beraksi dalam kejohanan paling berprestij di dunia ini dan kami berharap mereka bersaing dengan adil," katanya selepas undian rasmi kelayakan bersama Pusingan Pertama, di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

Sebanyak 46 anggota AFC menyatakan minat menyertai pusingan awal kelayakan bersama Piala Dunia FIFA 2018 Russia, yang juga menjadi kelayakan Piala AFC 2019.

Pada undian Kelayakan Bersama Pusingan Pertama hari ini, 12 pasukan yang berada pada ranking ke-35 hingga 46 dibahagikan kepada enam kumpulan yang terdiri daripada dua pasukan, dan masing-masing akan bermain di tempat sendiri dan lawan.

Pemenang bagi setiap enam pertemuan itu akan layak ke undian Pusingan Kedua, yang akan diadakan selepas Pusingan Pertama selesai.

Perlawanan pertama yang akan berlangsung pada 12 Mac adalah India melawan Nepal; Yaman melawan Pakistan; Timor Leste melawan Mongolia; Kemboja melawan Macau; Taiwan melawan Brunei dan Sri Lanka melawan Bhutan. - BERNAMA

251 dibaca
Berita Harian X