Ahad, 16 Julai 2017 | 11:01pm

Muafakat keluarga rahsia kekuatan HS Nada

JENAMA HS Nada cukup sinonim dan disegani dalam industri daging halal negara.

Kehadirannya memayungi sebahagian besar permintaan daging halal tempatan, yang dibekalkan daripada dua kemudahan ladang lembu fidlot milik Kumpulan HS Nada di Kuang, dan dua pusat kuarantin di Perlis dan Thailand.

Perniagaan pengeluaran daging yang diwarisi empat beradik daripada arwah bapa mereka kini diwariskan kepada zuriat masing-masing sebagai generasi ketiga bagi mewakili teras tonggak kekuatan Kumpulan HS Nada yang menaungi beberapa anak syarikat iaitu HS Nada Sdn Bhd, HS Nada Marketing Sdn Bhd, HS Nada Ternak Sdn Bhd dan HS Nada Catering & Services Sdn Bhd.


MOHD Nazmi (kanan) bertemu penternak untuk membincangkan urusan operasi ladang.


LEMBU di ladang milik HS Nada di Kuang, Selangor.

Pengarah Operasi HS Nada Ternak, Mohd Nazmi Md Hassan, berkata syarikat itu bermula daripada arwah bapanya yang menjalankan pelbagai perniagaan ketika fasa peralihan daripada berkhidmat dalam tentera.

Katanya, selepas mencuba pelbagai perniagaan termasuk pembinaan, peruncitan dan kedai makan, bapanya akhirnya berjinak-jinak menjual daging di Pasar Selayang pada tahun 1975, yang akhirnya berkembang dengan memiliki ladang sendiri pada tahun 1986.

"Masih saya ingat, dulu kami empat beradik bersekolah sambil membantu beliau jual daging, lepas 1986 baru kami terfikir untuk memiliki ladang dengan membeli tanah seluas 0.2023 hektar di Kuang.

"Dengan modal RM50,000 kami beli tanah, bangunkan ladang dan bawa masuk lembu kira-kira 20 ekor, semuanya untuk kami sembelih dan jual sendiri. Dari situ, kami buka ladang di Perlis, buka kedai daging dan sekali lagi membuka ladang baharu pada tahun 1993.


KEDAI daging segar HS Nada beroperasi dengan matlamat untuk menjamin makanan orang Islam.


KEDAI daging segar HS Nada turut menjual sayur-sayuran hijau.

"Alhamdulillah, kami mula berani membawa masuk lembu sehingga 1,000 ekor di ladang ini pada satu-satu masa dan pernah dulu pendapatan kami mencecah RM10 juta setahun," katanya ketika dikunjungi BH di Ladang HS Nada, Kuang Selangor, baru-baru ini.

Beliau mesra menyambut kehadiran penulis di ladang HS Nada itu bersama-sama empat tunjang utama pewaris generasi ketiga yang semuanya berusia sekitar 20-an.

Mengulas lanjut, Mohd Nazmi berkata, sejak arwah bapanya meninggal dunia, beliau bersama empat adik-beradiknya meneruskan legasi mengambil alih membangunkan ladang, pemasaran dan kedai HS Nada.

Kini, katanya, anak-anak generasi ketiga sudah mula terbabit secara serius sejak 2014 bagi menguruskan sepenuhnya perniagaan HS Nada yang semakin berkembang pesat, termasuk katering.


PENGGUNA Islam dijamin mendapat bekalan makanan yang segar dan bersih.


SAYUR-SAYURAN yang turut dijual di dalam kedai HS Nada.

"Masa abang saya, Mohd Nazri Md Hassan meninggal dunia, saya bersama-sama adik-beradik Haslina dan Haslinda memanggil anak-anak kami semua untuk tanya sama ada mahu meneruskan atau tidak kerana ia fardu kifayah bagi menjamin makanan orang Islam.

"Selepas anak-anak ini bermesyuarat sesama mereka, akhirnya semuanya bertekad meneruskan legasi HS Nada tanpa menoleh ke belakang lagi dan bersama-sama dalam syarikat walaupun sudah belajar tinggi-tinggi.

"Walaupun generasi ketiga ini berlainan ibu bapa, mereka semuanya seperti adik-beradik kerana sudah dilatih dari kecil dalam industri ini dan mereka sangat rapat dan kuat, kami sebagai orang tua juga kena bersama mereka," katanya.

Ketika menjengah ladang HS Nada yang hanya tinggal sekumpulan kecil lembu ekoran laris ketika Aidilfitri baru-baru ini, Mohd Nazmi sempat menyatakan harapannya kepada syarikat yang tersemat pelbagai kenangan pahit manis keluarga itu.

Katanya, beliau memahat harapan untuk melihat HS Nada menjadi pengeluar daging lembu halal terbesar di Malaysia dan terus menjaga amanah fardu kifayah dalam menjamin umat islam sendiri menyembelih daging untuk orang Islam.

"Sekarang ini kita dalam keadaan agak tepu sikit kerana ekonomi yang tidak menentu, namun Alhamdulillah kami boleh bertahan, kerana itu saya didik anak-anak memiliki semua kepakaran dalam industri ini.

"Jika ada di antara mereka yang tidak ada, anak-anak yang lain boleh menggantikan mana-mana kerja dengan lancar walaupun mereka dari bahagian lain dalam perniagaan ini, begitulah kuatnya kerjasama mereka," katanya mengakhiri pertemuan.

Info HS Nada:

  • - Menyediakan bekalan lembu / kambing
  • - Daging segar mengikut keratan permintaan
  • - Penghantaran ke rumah
  • - Produk siap dimakan
  • - Mengeluarkan produk bebola daging & ayam
  • - Kambing golek
  • - Katering

167 dibaca
HS NADA menjamin kesegaran dan kebersihan produk sayur-sayuran dan daging yang dijual.
ANTARA produk yang dijual di dalam kedai HS Nada.
RUMAH sembelih HS Nada di Kuang, Selangor.
Berita Harian X