Ahad, 16 Julai 2017 | 10:59pm

e-Site Inventory mudahkan kumpul data di tapak projek

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan inovasi aplikasi 'semua dalam satu' dinamakan e-Site Inventory yang membolehkan kerja pengumpulan data di tapak projek dilakukan jauh lebih mudah berbanding kaedah konvensional.

Melalui inovasi itu yang dibangunkan oleh Timbalan Dekan (Akademik, Antarabangsa dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Prof Madya Gs Dr Mohd Johari Mohd Yusof, maklumat diperoleh juga lebih tepat.

Kegunaan aplikasi itu akan menyelesaikan kerja rumit pengumpulan data di tapak projek yang selama ini dilakukan menerusi kaedah konvensional dalam bidang reka bentuk, seni bina, kejuruteraan dan penyelidikan.

Kaedah konvensional memerlukan segala peralatan seperti kamera, pelan, buku nota, alat peranti Sistem Kedudukan Global (GPS) dan pita ukur dibawa yang menyukarkan golongan profesional, juruukur dan pelajar untuk mendapatkan data, sekali gus boleh mengakibatkan kerja pengumpulan data menjadi tidak tepat.

Dr Mohd Johari mengaku pengalaman dilalui dirinya dan kepayahan ditempuhi pelajar dalam membawa banyak peralatan serta pelan bersaiz besar, mencetuskan idea untuk membangunkan e-Site Inventory.


DR Mohd Johari bersama sijil dan pingat yang dimenangi inovasi e-Site Inventory.

Pelbagai fungsi

Katanya, beliau bersama Dekan FRSB, Prof Madya LAr Dr Osman Mohd Tahir, serta pengatur cara tempatan, Mohd Fakhrurrazi Mahmood, memulakan penyelidikan pada 2014 sebelum inovasi itu mendapat hak cipta pada 2015.

"Dengan hanya menggunakan sebuah telefon bimbit atau tablet, kerja pengumpulan data dapat dilaksanakan. Aplikasi ini boleh dimuat naik melalui android Play Store," katanya.

Berasaskan aplikasi telefon bimbit dan penggunaan teknologi telekomunikasi terkini, e-Site Inventory boleh melaksanakan pelbagai fungsi seperti memuat turun pelan, mengambil imej atau gambar dengan saiz pixel boleh dihadkan, menentukan kedudukan koordinat x dan y di atas muka bumi, membuat lakaran di atas imej, serta memasukkan serta menyimpan maklumat atau nota secara sistematik dan tersusun.

Selain memudahkan, Dr Mohd Johari berkata, inovasi itu turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar berikutan tidak lagi perlu menggunakan atau membawa kertas ke kawasan tapak kerana semua maklumat dan lakaran dilakukan dalam e-Site Inventory.


APLIKASI e-Site Inventory dalam telefon bimbit.

Bangunkan versi 2.0

Katanya, e-Site Inventory versi 1.0 itu juga mampu menghantar maklumat dikumpul di tapak projek melalui e-mel yang dibina dalam aplikasi berkenaan tanpa perlu balik ke pejabat.

Beliau berkata, aplikasi inventori maklumat alat tulis atau inventori dalaman bangunan memang sudah ada banyak di pasaran, namun aplikasi khusus untuk kerja pengumpulan atau inventori tapak masih tiada.

"Gabungan fungsi dan kemudahan e-mel serta had saiz imej menjadikan aplikasi ini unik, malah belum dibangunkan oleh mana-mana individu atau institusi," katanya.

Katanya, beliau kini dalam peringkat membangunkan e-Site Inventory versi 2.0 pula yang akan dilengkapi kemudahan rakaman video, melakar menggunakan pelbagai warna dan mengukur ketinggian pokok atau bangunan.


DR Mohd Johari menunjukkan aplikasi e-Site Inventory yang dihasilkan.

INFO
Aplikasi e-Site Inventory versi 1.0

Antara anugerah pernah diraih:

  • Anugerah Terbaik dan pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2016
  • Anugerah Merit pada Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia (MLAA) 2015
  • Pingat gangsa pada Ekspo Amalan Inovasi dalam Pendidikan Tinggi (i-PHEX) 2015
  • Pingat perak pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2015
  • Pingat emas pada pertandingan Reka Bentuk, Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa (IIID) 2015
76 dibaca
Berita Harian X