Ahad, 16 Julai 2017 | 10:57pm
MENIKMATI sarapan pagi di persekitaran yang mendamaikan. - Foto Ghazali Kori

Nasi dagang, teh ais Ombak Rindu di Warung Kak Ros


KAK Ros (tengah) bersama petugas menyediakan nasi dagang. - Foto Ghazali Kori

BAGI mereka yang datang dari luar Kuala Terengganu, pelawaan 'jom kita bersarapan di warung Kak Ros Nasi Dagang' boleh membuatkan anda terpinga-pinga.

Mungkin tidak pernah mendengar nama itu disebut sekalipun oleh penduduk tempatan di Kuala Terengganu sendiri.

Namun, sebaik disebut warung Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur Kuala Terengganu, barulah mereka terbayang ketika bersarapan, menikmati nasi dagang bersama gulai ikan tongkol yang pedas lagi 'power' itu!

Kelazatannya berganda sebaik menikmati minuman popular di warung berkenaan iaitu teh tarik ais buih meleleh seperti ombak, lalu menu itu dikenali teh tarik ais Ombak Rindu!

Memang hebat 'penangan' Kak Ros Nasi Dagang atau Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur sehingga viral di beberapa laman sosial baru-baru ini, sekali gus mengundang kehadiran pelanggan yang terdiri daripada penduduk tempatan mahupun pengunjung dari luar Terengganu, datang ke warung ini.

Biarpun keadaan warungnya di tepi jalan itu kelihatan agak uzur, kelazatan hidangannya memang cukup tersendiri.

Sekalipun berpeluh kerana pedas, penulis tidak teragak-agak melabel Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur adalah hidangan atau makanan tradisional paling sedap di Terengganu setakat ini!


KAK Ros (kanan) bersama pekerjanya menunjukkan hidangan yang boleh di dapati di warungnya. - Foto Ghazali Kori

Guna campuran rempah istimewa

Berdasarkan pemerhatian, ikan tongkol atau ikan aya (dalam bahasa Terengganu) yang digunakan adalah jenis ikan aya hitam dan paling sedap dibuat gulai untuk dinikmati bersama nasi dagang. Ikan aya putih pula sedap apabila dimasak singgang.

Pengusaha atau pemilik warung, Rohana Yusof, 45, atau lebih dikenali sebagai Kak Ros berkata, pelanggan akan mula beratur di depan gerainya seawal jam 6.30 pagi dan berbaris panjang sejam terutama pada Jumaat dan Sabtu. Lazimnya semua hidangan yang disediakan hari itu habis terjual sebelum jam 11 pagi.

"Saya menggunakan beras panjang apabila menyediakan nasi dagang untuk mendapatkan rasa lebih enak. Santan perlu banyak dan campuran beberapa jenis herba untuk menaikkan aroma nasi berkenaan.

"Begitu juga dengan gulai ikan tongkol, saya menggunakan campuran rempah istimewa untuk memperoleh rasa lebih lazat.

Sepinggan nasi dagang bersama ikan tongkol berharga RM3. Bagi semangkuk gulai yang berisi kepala ikan tongkol, ia diberikan percuma. Cuma telur rebus saja dikenakan bayaran RM1 sebiji.

Warung Kak Ros turut menyediakan teh ais Ombak Rindu dan bandung Ombak Rindu gelas besar yang menjadi daya tarikan kepada pengunjung.

"Buih yang banyak meleleh hingga ke piring sering menjadi perhatian hingga ramai pelanggan turun ke dapur untuk melihat proses penyediaannya. Harga bagi gelas besar ialah RM5," katanya.


PENGUNJUNG beratur di depan gerai seawal jam 6.30 pagi. - Foto Ghazali Kori

FAKTA NOMBOR

* 8 tahun

usia perniagaan

* 1,500 orang

pelanggan sehari

* 200 kilogram

ikan tongkol diperlukan sehari

* 20 minit

perjalanan dari Kuala Terengganu

INFO

  • Warung Kak Ros dibuka setiap hari kecuali Isnin.
  • Hubungi 013 984 7846 (Saidatul Jamilah) bagi membuat tempahan atau Facebook (FB) 'nasi dagang atas tol' untuk maklumat lanjut.
3690 dibaca
Berita Harian X