Ahad, 16 Julai 2017 | 12:14pm

Lebar sayap ke Sarawak


Mercedes-Benz Malaysia melancarkan pusat sehenti pertama di Malaysia Timur babitkan kos RM53 juta.

Mercedes-Benz Malaysia melebarkan sayapnya ke Sarawak apabila melancarkan Hap Seng Kuching Autohaus, pusat sehenti pertama seumpamanya di Malaysia Timur.

Kemudahan dengan pelaburan berjumlah RM53 juta yang terletak di Kuching, Sarawak membabitkan keluasan 18,383 kaki persegi itu turut menyediakan kemudahan 3S sepenuhnya (jualan, penyelenggaraan dan alat ganti) bagi kereta penumpang dan kenderaan komersil Mercedes-Benz.

Hap Seng Kuching Autohaus ini memiliki kapasiti untuk menyelenggara sehingga 510 kenderaan sebulan menerusi 16 ruang penyelenggaraan termasuk kemudahan mengecat badan kenderaan.

Kakitangan terlatih

Memiliki 40 kakitangan terlatih bagi bahagian jualan, perkhidmatan teknikal dan alat ganti, kemudahan ini turut menyediakan kemudahan penyelenggaraan bagi kenderaan komersil FUSO.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner, berkata pelancaran Mercedes-Benz Hap Seng Kuching Autohaus membuktikan komitmen syarikat untuk memperkukuhkan kehadirannya di Malaysia Timur.

"Sasaran kami adalah menyediakan pengalaman yang memuaskan bagi perkhidmatan disediakan kepada pelanggan kami.

"Sarawak adalah pasaran utama bagi kenderaan komersial Mercedes-Benz dan pasaran keempat terbesar di Malaysia selepas Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang," katanya.

Pengalaman premium

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Hap Seng Star yang juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated, Harald Behrend berkata : "Lebih 40 tahun kami menumpukan usaha untuk memberikan satu pengalaman premium dan eksklusif yang sinonim dengan jenama Mercedes-Benz. Buat masa ini, Hap Seng Star memiliki lapan pengedar kenderaan penumpang dan Hap Seng Commercial Vehicle pula mempunyai tujuh cawangan di seluruh negara.

Hap Seng Kuching Autohaus menyertai Miri dan Kota Kinabalu bagi kemudahan yang disediakan di bahagian Malaysia Timur.

Ketika ini, Hap Seng memiliki 11 Autohaus di Semenanjung Malaysia termasuk Bukit Tinggi, Balakong, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ipoh, Kinrara, Klang, Ipoh, dan Kuantan.

Hap Seng sudah melabur RM237 juta untuk membangunkan pusat sehenti pelanggannya di seluruh negara setakat ini.

Info: Hap Seng Kuching Autohaus

  • Babit pelaburan RM53 juta
  • Kemudahan 3S sepenuhnya
  • 18,383 kaki persegi
  • Mampu menyelenggara sehingga 510 kenderaan sebulan
  • 16 ruang penyelenggaraan termasuk kemudahan mengecat badan kenderaan
  • 40 kakitangan terlatih.
76 dibaca
Berita Harian X