Isnin, 10 Julai 2017 | 6:49am

Raya dan pilihan raya

KETIKA beraya baru-baru ini, topik yang banyak menjadi bahan sembang adalah pilihan raya. Sambil makan lemang dan ketupat, masing-masing menduga tarikh keramat itu.

Yang turut ditanya mengenai arah tuju sebenar PAS. Dalam kalangan penyokong pembangkang, mereka marahkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang. Ahli dan penyokong PAS juga berbelah-bahagi. Yang marah terus isytihar sertai Parti Amanah Negara (PAN) sehingga baju Melayu untuk raya kali ini pun berwarna oren bukan lagi hijau.

Dalam satu keluarga pun berpecah sokongan politik antara PAS dengan PAN. Makanya ada yang berbaju Melayu oren dan hijau. Yang menyokong UMNO pula memilih baju berwarna lain kerana bimbang jika dikatakan telah bertukar parti. Ramai yang teruja menunggu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Mereka teruja kerana pelbagai sebab dan kali ini jauh berbeza dengan beberapa PRU sebelum ini. Kata mereka, kali ini Barisan Nasional (BN) perlu kerja keras untuk mempertahankan kedudukan kerana situasi politik bukan seperti PRU-13. Namun, ada yang kata BN akan kekal memerintah kerana pembangkang berpecah. PAS telah keluar daripada Pakatan Rakyat untuk bersendiri meninggalkan DAP dan PKR yang mendapat sekutu baharu, PAN dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PBPM).

Pakatan empat parti pembangkang itu dijangka bertanding atas satu simbol di bawah tiket Pakatan Harapan. Menurut laporan, kesepakatan telah pun dicapai dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi. Pakatan rasmi pembangkang itu dikatakan akan diumumkan tidak lama lagi.

Betulkah keputusan PAS keluar daripada pakatan pembangkang, akan memberi kelebihan kepada BN? Seorang rakan yang juga Ketua Bahagian berpendapat BN akan lebih selesa jika ura-ura kerjasama UMNO-PAS menjadi kenyataan. Kini kita masih dalam suasana raya dan persidangan perwakilan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO telah pun bermula.

Antara perkara yang pasti jadi tumpuan adalah persiapan ke arah pilihan raya. Ini akan menjadi persidangan perwakilan terakhir sebelum PRU-14. Namun, selain persiapan jentera pilihan raya, siapa calon yang diterima oleh ahli parti dan pengundi juga penting supaya peluang menang lebih cerah. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, beberapa hari lepas memaklumkan calon mestilah calon boleh menang dan tidak semestinya yang ada jawatan dalam bahagian. Justeru, walau siapa pun calon BN atau pembangkang dan dari parti mana kali ini, pengundi yang akan jadi penentu untuk memilih sama ada warna biru, hijau, merah atau oren.

221 dibaca
Berita Harian X