Ahad, 9 Julai 2017 | 3:17pm

Political vendetta: Tun Mahathir lebih tahu


DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) diiringi Adun Pasir Raja, Datuk Seri Dr Adham Baba (tujuh dari kanan) bergambar bersama penerima biasiswa Menteri Besar Johor ketika Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di Kolej YPJ, Bandar Akademi YPJ, Jalan Kulai-Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KOTA TINGGI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya perlu mengaku apa tindakan yang beliau lakukan apabila mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mangsa 'political vendetta'.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jika Mahathir mendakwa Anwar adalah mangsa 'political vendetta', beliau sendiri adalah sebahagian daripadanya.

Katanya, Dr Mahathir sepatutnya mengaku apa yang beliau lakukan terhadap Anwar dan perlu meminta maaf atas segala apa yang dilakukan ketika itu.

"Kalau betul dia (Anwar) mangsa 'political vendetta', Tun Mahathir sebahagian daripadanya. Dia yang mulakan. Hanya dia sahaja yang ada jawapan kalau dia kata (Anwar) 'political vendetta' dan minta dia (Tun Mahathir) mengaku apa dia buat bila Anwar mula kene (diambil tindakan) dahulu.

"Tun Mahathir (perlu) mengaku. Takkan kita nak mengaku betul, mana saya tahu. Mungkin Tun Mahathir lebih tahu, hanya dia pegang rahsia itu dan dia (Tun Mahathir) perlu minta maaf dengan Anwar.

"Dia (Tun Mahathir) lambung (mendakwa Anwar mangsa 'political vendetta') takkan kita nak jawab. Dia lambung dialah jawab," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di Kolej YPJ, Bandar Akademi YPJ, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Pengurus Besar YPJ, Ab Wahad Ridwan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor Sdn Bhd (KPYPJ), Rashid A Rahman.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berharap semua ahli UMNO dapat membangkitkan semula semangat perjuangan bagi meneruskan perjuangan UMNO sebagai parti amal bakti sepanjang musim persidangan bahagian yang sedang berlangsung.

"Harapan saya dalam musim persidangan supaya ahli parti melihat semula dan membangkitkan semula semangat perjuangan, membetulkan gerak kerja balik ke landasan yang sebenar.

"(Jadikan) parti UMNO sebagai parti amal bakti untuk buat sebanyak-banyaknya kepada masyarakat dan lihat sama ada kita menepati perkara itu, supaya UMNO terus menjadi sandaran pada masyarakat Melayu dan negara," katanya.

77 dibaca
Berita Harian X