Sabtu, 8 Julai 2017 | 6:06pm

Isu CEC: DAP tunggu surat rasmi ROS

KUALA LUMPUR: DAP bertegas tidak akan mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selagi belum menerima surat arahan rasmi daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, berkata DAP menganggap arahan ROS itu juga tidak wajar kerana ia dibuat secara umum menerusi kenyataan media dan bukannya diserahkan menerusi surat rasmi kepada parti.


SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Selepas menerima surat rasmi, DAP mahu bertemu dengan ROS bagi mendapatkan penjelasan berhubung arahan itu.

"DAP menganggap soal pemilihan semula CEC tidak berbangkit memandangkan kami sudah melakukannya pada 29 September 2013 seperti diarahkan ROS menerusi surat bertarikh 30 Julai 2013," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tergempar CEC bagi membincangkan perkara itu di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai; Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran dan barisan pemimpin CEC. Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah semalam meminta DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC selepas mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu menerusi pemilihan semula pada 29 September 2013, tidak sah.

Menurut Mohammad Razin, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, yang membabitkan seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

Sambil mengakui DAP terkejut dengan kenyataan media dikeluarkan ROS, Guan Eng mempertahankan status CEC yang dianggapnya sah mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan.

"Kami hairan dengan tindakan ROS yang mengarahkan kami mengadakan pemilihan semula CEC menerusi kenyataan media semalam," katanya.

288 dibaca
Berita Harian X