Sabtu, 8 Julai 2017 | 3:52pm

Piala Malaysia: Morais pertahan 'simpan' tonggak


PEMAIN JDT, Muhamad Safawi Rashid (kanan) diasak oleh pemain Terengganu, Mohd Firdaus Mohd Fauzi pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais, mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menurunkan kesebelasan utama yang menyaksikan pasukan itu hanya mengutip satu mata bertemu Terengganu, kelmarin.

Dalam aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia itu, ketua jurulatih kelahiran Portugal tidak menurunkan empat awang importnya iaitu Mohammed Ghaddar, Marcos Antonio, Gonzalo Cabrera, Gabriel Guerra serta ketua pasukan, Safiq Rahim dan Natxo Insa.

Morais berkata, pasukannya memiliki 29 pemain dan Piala Malaysia medan terbaik untuk mereka bermain.

"Sekalipun beraksi tanpa kelibat tonggak utama, tapi pemain yang diturunkan mampu menggalas tugas dengan baik.

"Terengganu bermain begitu baik sehingga memberi masalah kepada mereka dan satu mata yang dikutip sangat penting buat kami," katanya selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan menghiburkan dengan berbalas serangan sambil dihidangkan peluang keemasan, namun buntu menghasilkan gol sehingga masa permainan sebenar tamat.

Sementara itu, pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata biarpun skuad Harimau Selatan bermain tanpa kesemua pemain importnya, tapi harus diingat mereka memiliki rata-rata pemain kebangsaan.

Pengendali berusia 66 tahun itu berkata, dia tetap berpuas hati dan memuji karakter anak buahnya sepanjang perlawanan itu, cuma mereka tidak dapat menghasilkan gol.

"Pemain saya (Terengganu) mempamerkan semangat juang tinggi untuk memburu kemenangan, namun usaha mereka gagal kerana tidak dapat menjaringkan gol.

"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan dan satu mata malam ini (kelmarin). Malah, saya juga percaya penyokong juga terhibur dan menepati citarasa permainan kedua pasukan," katanya.

532 dibaca
Berita Harian X