Jumaat, 7 Julai 2017 | 9:08pm

Haramkan DAP bukan buat pemilihan semula


BEKAS Pengerusi DAP cawangan Taman Nesa, Skudai, S Kogilavani. - Foto Zain Ahmed

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi DAP cawangan Taman Nesa, Skudai, S Kogilavani mendesak Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengharamkan parti DAP bukannya meminta parti itu membuat pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

Kogilavani adalah antara ahli DAP yang membuat aduan kepada ROS mengenai pertikaian keputusan CEC terdahulu berkata, beliau melihat arahan ROS itu sepatutnya diputuskan lebih awal bukan selepas tiga tahun kes itu dibangkitkan.

Katanya, kesalahan yang dilakukan DAP jelas membolehkan parti itu diharamkan bukan sekadar diminta membuat pemilihan semula.

"Saya harap DAP diharamkan kerana parti ini mengamalkan sikap perkauman malah dalam pemilihan pada 2013 keputusan pemilihan di Johor menyaksikan ramai calon dalam kalangan orang India gagal merebut jawatan manakala majoriti pemimpin yang dipilih adalah calon Cina.

"Malah, Pengerusi DAP Johor sekarang pun bukannya orang tempatan sebaliknya orang luar dari negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, bahawa ROS akan mengeluarkan arahan kepada parti DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu.

Merujuk kepada kes yang beliau kemukakan kepada ROS, katanya beliau sudah mengumumkan keluar parti pada 2013 tetapi dinamakan menjadi perwakilan dan undi beliau dikira pada pemilihan parti tahun itu.

"Jelas sekali pemilihan itu tidak mengikut peraturan. Pada saya keputusan ROS ini sudah terlambat sepatutnya tindakan di ambil lebih awal," katanya.

334 dibaca
Berita Harian X