Selasa, 4 Julai 2017 | 6:03pm

Langgar lari di ELITE: Saksi diminta tampil


MEGAT Farid Mohamad Zabir dari Cawangan Pengangkutan Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) maut dalam kemalangan di Kilometer 9.8 Lebuhraya ELITE menghala USJ Subang Jaya, pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis yang baru selesai bertugas 24 jam di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) maut apabila motosikalnya dirempuh dari belakang dalam kes langgar lari di Kilometer 9.8, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), menghala ke Subang Jaya, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad, berkata Megat Farid Mohamad Zabir, 22, yang bertugas di cawangan pengangkutan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pulau Indah, kira-kira jam 9.30 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat awam, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC itu dipercayai dilanggar sebuah lori dari arah belakang menyebabkan tercampak di tengah lebuh raya dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Siasatan polis di lokasi kejadian menemui kesan brek kenderaan kira-kira 3.8 meter dari jarak mangsa terbaring selain serpihan motosikal.

Difahamkan, sehingga petang ini, tiada laporan polis berhubung kejadian itu dibuat termasuk oleh pemandu kenderaan yang melanggarnya.

"Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222.

213 dibaca
Berita Harian X