Ahad, 2 Julai 2017 | 10:22am

Wabak taun ragut 1,500 nyawa di Yaman

ADEN: Angka kematian akibat wabak taun terburuk di Yaman kini meningkat kepada 1,500 orang, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini.

Wakil WHO di Yaman, Nevio Zagaria, berkata sehubungan itu badan berkenaan merayu bantuan agar wabak berkenaan ditangani.


WAKIL WHO di Yaman, Nevio Zagaria (kiri). - Foto EPA

Yaman berdepan dengan peperangan yang berlanjutan selama 27 bulan antara tentera pakatan diketuai Arab Saudi dengan puak Houthi yang disokong Iran, menjadikan virus taun mudah merebak menerusi makanan dan minuman serta sistem pembuangan najis yang tidak teratur.

Bercakap dalam sidang media bersama dengan wakil Duta Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Bank Dunia, Zagaria berkata, lebih 246,000 orang dijangkiti wabak berkenaan bagi sehingga 30 Jun lalu.

WHO berkata dalam minggu ini saja, wabak itu sudah mencapai tahap pertengahan iaitu 218,798 kes dan tindakan menanganinya perlu disegerakan kerana jumlah penghidap berkenaan meningkat mendadak dalam tempoh dua bulan.

Kebanyakan kemudahan asas kesihatan di Yaman kini musnah dengan pekerja khidmat kesihatan tidak lagi menerima gaji sejak lebih enam bulan.

WHO kini hanya mampu membayar 'insentif' kepada doktor, jururawat, pekerja pembersihan dan anggota paramedik.

Katanya, bantuan yang disalur Bank Dunia membolehkan WHO membina pusat rawatan taun yang menampung 50 hingga 60 katil dengan dipantau oleh 14 kakitangan sepanjang masa.

"Sasaran kami untuk menyediakan 5,000 katil lagi," kata Zagaria. - REUTERS

36 dibaca
Berita Harian X