Jumaat, 16 Januari 2015 | 12:08am
AHLI keluarga berkabung semasa pengebumian salah seorang anak kapal kabin penerbangan AirAsia QZ8501, Oscar Desano, di sebuah tanah perkuburan di Klaten, Jawa Tengah, Indonesia, kelmarin. - Foto EPA

QZ8501: Identiti satu lagi jasad dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI POLRI) mengenal pasti identiti satu lagi jasad mangsa nahas Penerbangan QZ8501 AirAsia Indonesia sebagai Cindy Clarissa Soetjipto.

AirAsia, dalam kenyataan terkininya di sini malam tadi, menyatakan AirAsia Indonesia dengan rasminya menyerahkan jasad penumpang kepada keluarganya semalam.

Setakat ini, 39 daripada 50 jasad telah dikenal pasti identiti dengan sembilan lagi masih dalam proses pengecaman.

Menurut kenyataan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai oleh Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) menyambung operasi mencari di kawasan pencarian utama.

Kapal-kapal SAR, helikopter dan pasukan penyelam laut telah dikerah ke kawasan pencarian utama untuk meninjau dasar laut sebelum penemuan mayat penumpang dan bangkai pesawat kerana disyaki lebih banyak mayat yang mungkin terperangkap di bawah bangkai itu.

Bagaimanapun, tidak ada penemuan tambahan yang dilaporkan hari ini.

Pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia terhempas pada 28 Disember lepas semasa dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia, ke Singapura dengan membawa 155 penumpang dan tujuh kru.

Mereka yang berada dalam pesawat malang itu terdiri daripada 155 penumpang warga Indonesia, tiga rakyat Korea Selatan, seorang warga Singapura, seorang warga Malaysia, seorang rakyat Britain dan seorang warga Perancis.

- BERNAMA

155 dibaca
Berita Harian X