;
Selasa, 20 Jun 2017 | 11:31pm

Islamofobia di UK biak pembunuh kejam: pakar


Seorang wanita berjalan melewati mesej pada dinding menghormati mangsa berhampiran tempat kejadian serangan di sebelah Masjid Finsbury Park, di utara London Britain. - Foto REUTERS

LONDON: Serangan ke atas Masjid Finsbury Park adalah hasil seruan penulis tajuk muka depan akhbar tabloid dan pemimpin sayap kanan yang memaparkan Islam sebagai musuh dalaman, demikian menurut pemimpin Islam dan pemerhati di Britain.

Daripada ahli politik pembangkang sehinggalah penulis JK Rowling dan kartunis dalam media bebas, penghinaan semakin meningkatkan kebencian sehingga menjurus pemandu kulit putih merempuh jemaah di luar masjid di utara ibu kota ini dan menjerit, "Saya mahu membunuh semua Muslim."

Jiran Darren Osborne, lelaki Cardiff yang ditahan selepas serangan awal pagi semalam berkata, suspek seorang pemabuk yang semakin agresif selepas pelampau Islam menggunakan kenderaan dan pisau dalam serangan di ibu kota ini bulan ini.

Tommy Robinson, bekas pemimpin nasionalis Liga Pertahanan Inggeris, menyifatkan serangan Osborne sebagai 'balas dendam' atas pertumpahan darah di ibu kota ini.

Rowling pula menuding ke arah retorik hangat oleh kolumnis akhbar Daily Mail, Katie Hopkins ketika penulis buku Harry Potter itu menulis tweet: "Marilah kita bercakap bagaimana pengganas #FinsburyPark menjadi radikal."

Selepas pengeboman nekad di konsert pop Manchester bulan lalu, Hopkins menulis tweet:

"Lelaki Barat. Ini adalah isteri anda. Anak perempuan anda. Anak lelaki anda. Berdiri. Bangun. Bertindaklah. Jangan berlagak seperti biasa."

Menurut statistik kerajaan, golongan kulit putih Britain yang ditangkap berkaitan keganasan tahun lalu adalah 91 daripada 260, meningkat 28 peratus berbanding 2015 dan satu-satunya kumpulan etnik yang menunjukkan peningkatan.

Jenayah kebencian anti-Islam juga meningkat setiap tahun dan ada pertambahan tertentu selepas insiden seperti serangan di ibu kota ini dan pembunuhan di dewan konsert Bataclan, Paris November 2015.

Sehingga minggu ini, pembunuhan pembuat dasar Jo Cox setahun lalu adalah manifestasi paling ketara golongan fanatik nasionalis di Britain.

Ramai Muslim mengatakan, mereka sekian lama menderita akibat dihina setiap hari dan semakin teruk ketika ketegangan meningkat berhubung krisis seperti pelarian di Eropah dan undian Brexit.

Sesetengah serangan berbentuk fizikal atau kata-kata, yang lain membabitkan contengan, membaling najis dan muntah atau mencampakkan daging babi pada cermin kereta.

Fiyaz Mughal, pengasas Tell Mama, kumpulan yang mengumpul insiden anti-Islam berkata, kebencian yang mendorong tindakan Osborne tidak datang begitu saja dan faktor terbesar adalah keganasan pelampau Islam.

"Namun malangnya, apabila anda berdepan insiden besar-besaran, anda melihat tajuk muka depan dan penulis kolum yang dibenarkan melontarkan bahasa menyemarakkan kebencian untuk melariskan akhbar," kata Mughal. -AFP

171 dibaca
Berita Harian X