Selasa, 20 Jun 2017 | 2:38pm

'Jangan lindungi pelajar pembuli'


AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. -Foto Owee Ah Chun

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan mengulangi peringatan supaya sekolah segera melaporkan kes pelajar bermasalah terutama membabitkan kes buli kepada polis.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kes buli kebelakangan ini mula membabitkan aspek fizikal seperti tendang dan pukul, malah ada yang menggunakan kayu serta senjata untuk mencederakan mangsa.

"Saya kerap minta pengurusan sekolah, guru disiplin dan kaunselor bekerjasama dengan polis serta berani melaporkan kejadian supaya tidak menjadi serius, terutama kes buli dan kongsi gelap.

"Jika pelajar dilindungi orang luar hingga mengugut dan mengancam keselamatan guru, sekolah tidak boleh diamkan diri, sebaliknya lapor kepada polis.

"Pihak Pegawai Pendidikan Daerah perlu bekerjasama dengan Ketua Polis Daerah dalam mencari kaedah terbaik membasmi gejala tidak sihat, bukannya bila ia sudah berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sumbangan Ramadan kepada 3,200 penerima membabitkan 143 kampung sekitar daerah Padang Terap di Baitunnur di sini, hari ini.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Setiausaha Politik Perdana Menteri merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim.

Ketika ditanya peranan kementerian dalam menangani isu buli, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pihaknya dalam usaha meningkatkan kemahiran dalam kalangan kaunselor dan guru disiplin di sekolah bagi memastikan disiplin pelajar diperkasakan.

445 dibaca
Berita Harian X