Isnin, 19 Jun 2017 | 10:15pm

38 lokasi EBS pantau pesalah trafik


Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)Datuk Seri Nadzri Siron (dua, kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman (kiri) mengagihkan pek berbuka puasa kepada para anggota JPJ yang berada di lokasi operasi ketika tinjauan Operasi Hari Raya di Plaza Tol Sungai Besi hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan Stesen Penguatkuasa (EBS) di 38 lokasi di lebuh raya bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan secara berterusan dan menyeluruh.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron, berkata EBS berkenaan akan menjadi 'check point' bagi memastikan anggota JPJ membuat rondaan di sepanjang laluan terbabit.

"Selain menjadi 'check point', kita boleh arahkan kenderaan terbabit berhenti di EBS untuk diperiksa sekiranya pasukan rondaan mengesan pengguna jalan raya melakukan kesalahan.

"Saman juga akan dikeluarkan di EBS sebaik sahaja kenderaan itu diperiksa oleh anggota yang melakukan rondaan," katanya dalam sidang media selepas hadir memeriksa Operasi JPJ sempena Aidilfitri di Plaza Tol Lebuhraya Utara Selatan, Sungai Besi, di sini.

Nadzri berkata antara lokasi EBS adalah di plaza tol Bangi, Pedas Linggi, Kalumpang, Rawang, Tapah, Gurun dan di laluan Gua Musang-Kota Bharu.

Sementara itu, Nadzri berkata sebanyak 521 saman dan 160 notis telah dikeluarkan terhadap 559 kenderaan sejak Op khas Aidilfitri bermula semalam.

"Daripada jumlah 521 saman, 183 kes membabitkan kesalahan tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh," katanya.

25 dibaca
Berita Harian X