Ahad, 25 Jun 2017 - 8:22AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

SPRM tetap siasat FGV

Oleh Ilah Hafiz Aziz


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal meneruskan siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) meskipun berlaku perubahan pengurusan tertinggi syarikat itu, seperti yang diumumkan Perdana Menteri.

Malah ketika ini, siasatan itu hampir selesai dan pegawai SPRM kini hanya perlu memanggil beberapa individu penting yang dikaitkan, termasuk bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pihaknya akan memanggil Isa tidak lama lagi namun tidak memberi jangka masa tertentu.

Kata beliau, Isa bakal dipanggil selepas SPRM sudah memanggil keseluruhan 50 individu yang disenaraikan sebagai saksi untuk tindakan selanjutnya.

"Kita tidak akan tutup siasatan walaupun hari ini terdapat perubahan dalam kepimpinan tertinggi FGV.

"SPRM komited untuk menyiasat dakwaan rasuah dan salah laku yang sudah dilaporkan kepada kami dan tidak boleh menyelesaikan sesuatu tanpa siasatan rapi atau penyelesaian tertentu.

"Malah kami sudah memanggil hampir kesemua 50 individu yang disenaraikan dan pada masa terdekat ini, Isa akan turut dipanggil memberi keterangan kerana dia adalah salah seorang saksi," katanya kepada BH, sebentar tadi.

Beliau menjangkakan siasatan itu akan diselesaikan dalam tempoh selepas perayaan Aidilfitri nanti.

"Pegawai-pegawai kami sedang berusaha ke arah itu dan akan memanggil lebih ramai individu yang disenaraikan sebagai saksi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menafikan siasatan yang dijalankan SPRM ketika ini adalah berpandukan kepada siasatan yang dilakukan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Idris Jala yang dilantik sebagai wakil bebas kerajaan.

"Tiada kaitan kerana siasatan kami sekadar bertumpu kepada isu rasuah dan salah laku manakala saya difahamkan siasatan Idris adalah berhubung urus tadbir pengurusan FGV," katanya.

Ditanya mengenai pembekuan aset, Azam berkata perkara itu tidak dilakukan lagi kerana siasatan masih berjalan dan bergantung jika pihaknya memperoleh bukti-bukti yang kukuh.


Trending

    Disyorkan