Isnin, 19 Jun 2017 | 8:48pm

PBNS harap gandingan mantap Behe-Suzuki


Pemain Negeri Sembilan, Jonathan Béhé. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berharap penyerang baharu skuad Negeri Sembilan, Jonathan Behe, dapat memainkan peranan proaktif dalam membantu menjana kejayaan pasukan pada baki saingan Liga Perdana, bermula 30 Jun ini.

Naib Presiden PBNS, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin berkata, walaupun penyerang berasal dari Perancis itu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam empat aksi persahabatan yang diadakan sepanjang tempoh rehat,ia perlu ditingkatkan lagi.

Katanya, ini kerana cabaran selepas ini lebih sukar dan menuntut ketajaman penyudah yang lebih berkesan.

"Kita sudah menguji kehebatan Behe di bahagian serangan dan perlawanan persahabatan itu nyata memberi peluang pengurusan pasukan dan jurulatih, mengenal pasti sebarang kelemahan.

"Kita dapat mencuba pelbagai formasi dan gandingan antara pemain serta mencipta corak serangan baharu di hadapan pintu gol lawan.

"Saya dapati ada peningkatan dan ini suatu perkembangan yang baik dan positif dalam misi kita menamatkan saingan liga dengan kemenangan selain memberikan saingan mantap pada aksi Piala Malaysia," katanya.

Dalam empat aksi persahabatan itu, skuad Mohd Asri Ninggal berjaya menewaskan PKNS FC, 4-0 dan Selangor, 5-3, namun tewas kepada FELCRA FC dan Melaka United (MU) masing-masing dengan jaringan 0-1 dan 2-3.

Mohamad Haslah berkata, pihaknya berharap Behe akan dapat membentuk gandingan lebih mantap bersama Bruno Suzuki, bagi memastikan penyudah yang lebih berkesan dalam memburu gol kemenangan.

Menurutnya, dia yang turut menjaring gol pada pertemuan dengan PKNS FC, MU dan Selangor diharap dapat mengulangi aksi baik itu pada perlawanan sebenar nanti.

Negeri Sembilan bakal melayan kunjungan Perlis pada aksi liga di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 30 Jun ini.

33 dibaca
Berita Harian X